Uyghur: Kesal tindakan Malaysia berkecuali

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

TINDAKAN Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) yang menolak usul untuk membahaskan dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh China terhadap umat Islam Uyghur di Xinjiang merupakan suatu perkara yang sangat dikesali bagi suatu organisasi yang sentiasa melaungkan hal-hal keamanan dan kemanusiaan.

- Advertisement -

Hal ini menambahkan lagi kekecewaan disebabkan oleh pendirian Malaysia sendiri bersama 11 negara lain mengambil pendirian berkecuali, manakala 19 negara menolak dan 17 negara menyokong dalam undian yang melibatkan 47 negara anggota.

Pendirian Malaysia ini sangat mendukacitakan, bahkan bercanggah dengan kenyataan rasmi oleh YAB Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melalui ucapannya di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di New York, AS yang jelas melaungkan seruan memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat yang turut melibatkan konflik antarabangsa.

Saya melihat keputusan yang diambil oleh Malaysia ini tidak mencerminkan kesepaduan dalam membanteras kezaliman, termasuklah “menutup sebelah mata” dengan tidak mengendahkan penderitaan dan kesengsaraan umat Islam Uyghur yang diseksa dan ditindas mengikut hawa nafsu.

Sebagai contoh, menurut laporan yang dikeluarkan oleh wartawan BBC pada awal tahun 2021, wanita yang ditahan akan dirogol, tangan mereka digari, sebelum ‘diratah’ tentera penguasa yang kejam dan bernafsu binatang, selain menjadikan pusat tahanan sebagai “rumah haram pelacuran”.

Hal ini jelas menunjukkan berlakunya pencabulan hak asasi ke atas masyarakat Uyghur dan etnik minoriti lain di wilayah tersebut. Pembantaian terhadap etnik ini saban hari merupakan hilangnya maruah seluruh umat Islam di seluruh dunia yang senyap tanpa bicara di atas penderitaan saudara-saudara Muslim di China.

Selain itu, saya ingin menyatakan respons terhadap tuduhan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Raja Bahrin Shah yang menyelar PAS dalam isu ini.

Isu penderitaan Uyghur ini turut pernah ditekankan oleh Presiden PAS ketika ditemubual dalam program Bicara Minda Bersama Presiden PAS anjuran Sinar Harian pada Disember 2018 yang menyatakan masyarakat Muslim China Uyghur telah ditekan dan ditindas sejak tahun 1920-an lagi di bawah pemerintahan Komunis.

Malaysia tidak harus “membisu” dalam apa-apa jua isu berkaitan pembantaian etnik minoriti tetapi sepatutnya lantang dalam mempertahankan keamanan dan keadilan dunia.

Selaku AJK Lujnah Antarabangsa PAS Pusat, saya sendiri pernah menjadi panel di dalam “Forum Kemanusiaan Peduli Uyghur” anjuran Abim Pusat dan Pejabat Parlimen Setiawangsa YB Nik Nazmi pada 7 Julai 2022.

Bahkan, saya dan Lujnah Antarabangsa PAS Pusat ke Istanbul, Turki secara konsisten telah membawa mesej bagi memperjuangkan keadilan buat etnik Uyghur secara spesifik di Persidangan Antarabangsa “The First World Islamic Conference for East Turkistan” dari 10 hingga 12 Julai 2022.

Kami sebulat suara menegaskan bahawa penderitaan masyarakat Uyghur perlu dibela daripada terus disiksa.

Jadi, saya merasakan beliau sebagai seorang yang “jumud” dan terkebelakang kerana tidak mengikuti perkembangan semasa dalam hal-hal kemanusiaan yang telah diperjuangkan oleh kepimpinan PAS di semua peringkat.

Akhir sekali, saya sekali lagi melahirkan perasaan dukacita di atas pendirian Malaysia ini yang tidak mengetengahkan keadilan sosial dan prinsip kemanusiaan seperti yang ditekankan di dalam agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Malaysia tidak harus “membisu” dalam apa-apa jua isu berkaitan pembantaian etnik minoriti tetapi sepatutnya lantang dalam mempertahankan keamanan dan keadilan sejagat.

YB USTAZ AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik / Ajk Lujnah Antarabangsa PAS Pusat
Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Polisi Pelarian – HARAKAHDAILY 8/10/2022

- Advertisement -