Nafuzi mahu TFC kekalkan momentum kemenangan

Foto daripada Facebook Terengganu FC.
- Advertisement -

MELAKA: Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mahu pasukannya mengekalkan momentum kemenangan selepas menundukkan Melaka United FC 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat di sini malam tadi.

- Advertisement -

Beliau berkata baki dua perlawanan yang bakal dihadapi di tempat lawan itu pastinya bukan tugas yang mudah tetapi mereka tidak mahu mensia-siakan peluang mengutip mata penuh bagi membolehkan skuad Sang Penyu ke pentas Piala Konfederasi Asia (AFC).

“Kami akan bertemu Kuala Lumpur pada Selasa ini dan seterusnya Kedah pada perlawanan terakhir, kedua-dua pasukan memang sukar tetapi kami tiada pilihan lain kecuali perlu menang dan beri persembahan terbaik.

“Saya juga selalu percaya dengan kemampuan dan kelebihan pemain kami, mereka sentiasa berkeyakinan tinggi, saya mahu pasukan ini juga kekal konsisten dan apa yang penting selepas ini kami akan pulihkan kecergasan untuk lebih bersedia,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Terdahulu pada perlawanan itu pemain import berasal dari Ivori Tchetche Kipre meledak hatrik menerusi jaringan pada minit ke-3, 13 dan 36 sebelum Faris Shah Rosli menyumbat gol untuk Melaka pada minit ke-44 yang dihadiahkan sepakan penalti sebelum berakhir babak pertama permainan.

Bersambung babak kedua, skuad Sang Kancil cuba bangkit untuk merapatkan jurang dan akhirnya berhasil menerusi rembatan Syahmi Shamsuddin pada minit ke-52, bagaimanapun Faisal Halim menambah derita tuan rumah dengan menjaringkan gol pada minit ke-70 dan keputusan 4-2 itu kekal hingga wisel penamat.

Mengulas mengenai perlawanan, Nafuzi berkata para pemainnya telah menunjukkan usaha dan bersungguh-sungguh walaupun bermain dalam keadaan padang yang sukar akibat hujan lebat.

“Alhamdulillah tiga mata yang penting dan saya memuji persembahan para pemain secara keseluruhannya, kami bermula dengan baik tetapi kami perlu ambil iktibar sebab pada separuh masa kedua kami ada buat kesilapan mudah, membiarkan mereka menjaringkan gol,” katanya.

Sementara itu Ketua Jurulatih Interim Melaka, Mohd Asri Ninggal berkata walaupun turun tanpa import dan banyak dibarisi pemain bawah 21 tahun namun mereka telah mempamerkan aksi terbaik dan tidak mudah menyerah.

Keputusan itu menyaksikan Terengganu berada di tangga ketiga dengan 39 mata manakala Melaka di kedudukan ke-10 selepas hanya mengutip 18 mata. – BERNAMA

- Advertisement -