RM15 bilion laksana Rancangan Tebatan Banjir hingga 2030

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang bagi beradaptasi dengan perubahan iklim di seluruh negara dengan nilai keseluruhan RM15 bilion.

Bagi tahun 2023, sebahagian besar projek akan dianugerahkan dengan anggaran perbelanjaan RM700 juta dan antara projek utama yang digerakkan termasuk pelaksanaan projek Empangan Sabo bernilai RM562 juta di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah.

- Advertisement -

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata projek utama lain ialah pembinaan kolam takungan dwifungsi bernilai hampir RM2 bilion melibatkan jajaran di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Rasau, Selangor.

Katanya, projek itu bersifat serampang dua mata, iaitu bagi mengatasi masalah banjir dan sebagai sumber penyimpanan bekalan air mentah.

“Projek fasa tambahan Lembangan Sungai Bersepadu di Sungai Golok, Kelantan, hampir RM500 juta dan menaik taraf sistem ramalan cuaca bagi memperkasa ramalan dan amaran banjir di peringkat nasional juga adalah antara projek utama yang kerajaan laksanakan.

“Pada 2023, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diperuntukkan sebanyak RM174 juta dan sebagai langkah persediaan proaktif, Kementerian Kewangan akan terus menyalurkan tambahan RM400 juta kepada NADMA supaya bersiap siaga membantu dengan segera jika berlaku banjir pada hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga menyediakan peruntukan awal RM100 juta di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara pada 2023 dan Kementerian Kewangan bersedia untuk menambahkan peruntukan mengikut keperluan.

Sebagai langkah persediaan Angkatan Tentera Malaysia menghadapi sebarang bencana, katanya dua buah hospital medan tambahan melibatkan kos RM47 juta akan siap pada hujung tahun ini di Kluang, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, sebagai tambahan, sebanyak 50 unit ambulans akan ditempatkan di kem tentera, sedia untuk dikerahkan untuk membantu jika berlaku bencana.

“Kerajaan amat berdukacita atas bencana yang melanda negara dan sejak dua tahun kebelakangan, bencana banjir dan tanah runtuh berlaku hampir di setiap negeri. Kepada mangsa-mangsa yang terkesan, kerajaan menzahirkan ucapan takziah atas kehilangan harta benda dan nyawa insan tersayang. – HARAKAHDAILY 7/10/22

- Advertisement -