Polis tahan lelaki miliki pistol ugut peniaga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disyaki melakukan pemerasan terhadap peniaga dengan menggunakan pistol, ditahan di sebuah rumah sekitar Serdang, di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata suspek berusia 41 tahun itu ditahan selepas seorang peniaga kedai kereta terpakai membuat laporan semalam mendakwa suspek menghantar gambar pistol dan peluru serta diugut bunuh menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki itu yang melakukan kegiatan pemerasan secara seorang diri menyasarkan peniaga yang mempunyai pekerja asing sekitar Serdang untuk meminta wang perlindungan.

“Hasil tangkapan suspek, pihak kami berjaya merampas sepucuk pistol semi automatik berserta lapan butir peluru di Kajang.

“Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methephatamine dan memiliki 10 rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, hari ini. 

Anbalagan berkata lelaki itu kini direman sehingga esok sebelum diserahkan kepada IPD Kajang bagi siasatan berhubung penemuan pistol. 

Beliau berkata orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada suspek diminta tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam lapan kes pecah masuk pejabat sekitar Lembah Klang pada Selasa lepas, di Ampang, di sini. 

Anbalagan berkata suspek yang bekerja sebagai juruteknik pendawaian kamera litar tertutup sebuah syarikat di Lembah Klang itu melakukan aktiviti jenayah di premis yang pernah mendapatkan perkhidmatannya. 

“Suspek mengambil masa satu hingga dua bulan untuk meninjau keadaan premis pejabat sebelum melakukan aktiviti pecah masuk pada waktu pagi iaitu pada hari cuti umum dan hujung minggu,” katanya. 

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki yang melakukan aktiviti jenayah secara sendirian itu aktif sejak awal tahun ini melibatkan daerah Serdang, Petaling Jaya, Brickfields, Sentul dan Shah Alam. 

Anbalagan berkata hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan pernah menjalani hukuman penjara kerana memiliki barang curi dan dia kini direman tujuh hari sehingga 11 Oktober ini mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -