Penjawat awam terima durian runtuh RM2,500

- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada seramai 1.3 juta penjawat awam Gred 56 ke bawah sebanyak RM700, manakala Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 pula dinaikkan kepada RM600 dan akan dibayar pada Mac, 2023.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan berita gembira itu pada Pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, di sini, pada petang tadi.

Di samping itu katanya, penjawat awam Gred 11 hingga 56 bakal menerima kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 sebulan (setahun bersamaan RM1,200); sementara pesara kerajaan pula akan menerima kenaikan RM350 sebulan.

“Hal ini menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada tahun 2023 adalah sebanyak RM2,500 (jumlah daripada RM700 Bantuan Khas Kewangan, RM600 Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dan RM1,200 kenaikan gaji Tambahan Khas 2023 dari Januari hingga Disember),” ujar Tengku Zafrul. 

Ini merupakan tahun ketiga beliau membentangkan bajet yang mana kali pertama bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tahun lepas bersama kerajaan Keluarga Malaysia diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut kelihatan kacak memakai baju Melayu berwarna biru lengkap bersampin ungu dan bersongkok hitam. – HARAKAHDAILY 7/10/2022

- Advertisement -