Kedah tegas tidak bubar DUN sehingga Mac tahun depan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin PAS kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini sekiranya Kerajaan Persekutuan membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau telah menyembah maklum perkara itu kepada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Selasa lalu.

“Saya telah sembah maklum kepada Tuanku (Sultan Kedah) bahawa kerajaan negeri tidak akan membubarkan DUN pada tahun ini sehingga bulan Mac 2023, selepas daripada itu (Mac tahun depan) bolehlah dipertimbangkan untuk (DUN) dibubarkan.

“Tuanku titah (bahawa) itu kuasa Menteri Besar, (jadi) terpulanglah kepada pertimbangan Menteri Besar. (Jadi) saya selamat dah (sebab) untuk DUN tak gaduh (tiada) pilihan raya sampai tahun depan,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata keputusan kerajaan negeri itu adalah berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia yang menjangkakan cuaca buruk dan risiko bencana banjir mulai November ini hingga Mac tahun depan.

Menurutnya, sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun ini ia akan menyukarkan orang ramai untuk keluar mengundi serta mungkin menyulitkan pasukan keselamatan seperti polis untuk menguruskan aspek keselamatan akibat banjir dan pada masa sama memantau perjalanan pilihan raya

PAS sebelum ini membuat ketetapan tidak membubarkan DUN tiga negeri yang diterajuinya (Kedah, Kelantan dan Terengganu) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -