‘Jumpa orang muda, kena jadi mudalah!’

- Advertisement -

SATU perkara yang tak ramai tahu. Semasa Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentangkan Kuliah Tafsir ketika Ijtima’ Tarbawi Kali Ke-8 di Besut baru-baru ini, beliau yang mesra dengan panggilan ‘Ayah Chik’ sebenarnya masih belum menjamah makanan tengah hari.

Ya! Dua jam slot Kuliah Tafsir jam 2:30 petang hari itu dalam keadaan Ayah Chik masih belum jamah makanan tengah hari. Atiya, pengiring Ayah Chik berkerut muka menahan lapar semasa sesi kuliah berlangsung. Dia pun tak makan, sebab Ayah Chik tak makan.

Mengikut perancangan asal, Ayah Chik dijangka sampai dalam pukul 2 petang. Ayah Chik akan makan dan solat dulu di rumah Dr Ustaz Riduan Mohamad Nor (tuan rumah Pondok Tahfiz An-Nur), lepas tu baru naik ke pentas untuk kuliah tafsir. 

Itu mesej Ustaz Abdul Malik Abdul Razak, Setiausaha Akhbar Ayah Chik yang diberitahu kepada kami. Seawal jam 1:30 petang, jamuan tengah hari sudah siap dihidangkan, 30 minit awal sebelum Ayah Chik dijadualkan tiba.

Bila terima mesej itu, kami pun bergegas ke rumah Dr Ustaz Riduan untuk sambut Ayah Chik. YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari telah siap sedia berada di situ untuk sambut ketibaan Ayah Chik. 

Slot Kuliah Tafsir Ayah Chik adalah slot utama dalam semua tujuh kali Ijtima’ Tarbawi yang berlangsung sebelum ini. Slot ini sentiasa ditunggu-tunggu oleh ribuan anak muda di dalam setiap Ijtima’ Tarbawi. 

Ada yang sanggup berlapar untuk ‘booking’ tempat duduk di dalam dewan utama, bimbang kalau bangun pergi makan, tempat duduk itu akan diisi oleh orang lain. Mereka nak duduk sehampir yang boleh dengan Ayah Chik, walaupun perut mereka menyanyi bermacam-macam lagu kerana menahan lapar.

Jam 2:05 petang, kenderaan yang membawa Ayah Chik masuk ke perkarangan rumah Dr Ustaz Riduan. Haji Syahir Sulaiman (Setiausaha Politik Presiden) turut ada bersama menyambut ketibaan Ayah Chik. 

Bila terbuka sahaja pintu kereta, kelihatan tubuh seorang murobbi yang berpakaian putih kebiruan dan bertongkat, tersenyum memberi salam sambil menggagahkan diri turun dari kereta. 

Semua yang menunggu tadi ikut mengiringi Ayah Chik masuk ke dalam rumah Dr Ustaz Riduan. Ayah Chik nak bersolat Zohor terlebih dahulu. Kami siapkan sejadah untuk Ayah Chik di satu sudut dalam ruang tamu. Ahli rombongan yang lain masih belum berwudu’. 

Sementara tunggu mereka selesai berwudu’, Ayah Chik duduk di sofa, sambil tangannya tak lepas memegang tongkat. Seorang ketua gerakan Islam bertaraf Presiden sanggup duduk menunggu ahli jemaah yang lain untuk berwudu’. Tujuannya supaya sama-sama boleh bertakbiratul ihram berjamaah bersama-sama! Fuh. Kagum!

Sambil menunggu, YB Ustaz Ahmad Fadhli memulakan perbualan bertanyakan mengenai situasi politik semasa. Ketika itu agak tegang isu hubungan kerjasama PAS-Umno-BERSATU. Ayah Chik memberi respon dengan wajah yang ceria. Walaupun nampak Ayah Chik agak keletihan, tapi semangatnya sentiasa segar.

Walhal, Ayah Chik sebenarnya agak keletihan kerana baru selesai menghadiri Majlis I’dul Ilmi Maa’had Darul Quran Rusila pada sebelah paginya. Haji Syahir beritahu, dengan keadaan kesihatan Ayah Chik mutakhir ini, jarang disusun 2 program untuk Ayah Chik pada sebelah siang. Biasanya hanya 1 program pada sebelah siang, dan 1 program pada sebelah malam. 

Tapi hari Ijtima’ Tarbawi kali ini amat berbeza, Ayah Chik sendiri yang sanggup untuk memenuhi 2 jemputan program dalam hari yang sama, pagi dan petang. 

Sambil berbual, ada seorang pengiring Ayah Chik datang membawa kopiah berwarna merah. Kopiah yang Ayah Chik sedang pakai itu kopiah putih. Nak ditukar kepada kopiah merah yang baru dibawa.

Melihat kopiah merah itu, Ayah Chik terus menanggalkan kopiah putih dan memakai kopiah merah. Ada logo berwarna hitam di tepi kopiah. Ayah Chik melihat kedudukan logo itu terlebih dahulu sebelum memakai kopiah. 

Logo hitam tersebut dipastikan terlebih dahulu berada di sebelah tepi kepala, barulah kopiah itu disarung Ayah Chik. Begitulah cermatnya Ayah Chik dalam bab memakai kopiah. 

Tanpa dapat dipastikan apakah sebabnya Ayah Chik menukar kopiah, saya sengaja nakal mengusik Ayah Chik. 

‘Ayah Chik pakai kopiah merah tu baru nampak muda sikit’. Usik saya sambil ketawa kecil. Orang sekeliling juga tertawa kecil, dalam keadaan masing-masing berdebar menunggu apa jawapan balas Ayah Chik. 

“Jumpa orang muda, kena jadi mudalah,” jawab Ayah Chik ringkas dan spontan, sambil ketawa. 

Satu ruang tamu tertawa dengar jawapan Ayah Chik. Ayah Chik sendiri pun ikut tertawa bersama-sama kami sambil matanya pandang ke arah saya dan orang sekeliling. Padu dan padat jawapan Ayah Chik kali ni. Kena setepek atas muka. Haha.

Selesai solat, kami terus jemput Ayah Chik duduk di meja makan. Makanan pun memang dah terhidang sejak tadi. 

Tanpa berlengah, Ayah Chik terus jawab, “Kita makan lepas kuliah. Gi kuliah dulu. Orang dah tunggu”. Ayah Chik terus capai tongkatnya dan menuju ke pintu rumah, nak segera ke dalam ruang masjid, tempat slot Kuliah Tafsir. Ribuan anak muda dah bersedia tunggu di situ sejak awal tadi. 

Kami yang lain jadi terkedu dan kelu. Tak terkata apa. Tahu Ayah Chik masih belum makan nasi, lapar. Tapi Ayah Chik memilih untuk berkuliah dahulu berbanding menjamu selera. 

Menyampaikan kuliah di hadapan ribuan anak muda lebih menyelerakan Ayah Chik berbanding jamuan lazat yang telah terhidang di depan mata. Allahuakbar. Hebat! 

Dua jam Ayah Chik menyampaikan kuliahnya. Biasanya slot ucapan Ayah Chik dalam sejam atau sejam setengah sahaja. Tapi kali ini 2 jam! Penuh bertenaga! 

Mendengar intonasi suara, gaya tangan, lenggok bahasa, contoh kiasan, nasihat dan teguran, macam suara orang berumur 50-an. Tak percaya bahawa itu suara susuk tubuh yang sudah menjangkau usia 75 tahun. 

Itulah sedikit sebanyak coretan mengenai kehadiran Ayah Chik dalam Ijtima’ Tarbawi baru-baru ini. Tokoh negarawan yang sarat dengan pengalaman ranjau perjuangan. Semangatnya segar membara bila bersama para pemuda. 

Umurnya sahaja yang tua, tapi daya juangnya tetap muda! 

Terima kasih Ayah Chik. 

USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 7/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -