Bajet 2023: Rakyat harap kerajaan mampu kawal harga barang

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menjelang pembentangan Bajet 2023 pada jam 4 petang ini, Jumaat (4 Okt), orang ramai meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan agar dapat mengawal kenaikan barangan secara efektif bagi menangani kos sara hidup rakyat yang kini semakin meningkat.

Ini kerana orang ramai yang ditemu bual HarakahDaily berkongsi pandangan bahawa tiada guna kerajaan menyalurkan bantuan wang tunai, namun pada yang sama harga barang berterusan meningkat naik.

Seorang kakitangan awam, Pasupati K. A. Palaniappan, 65, berharap Bajet 2023 dapat memberi solusi terbaik dalam menurun dan mengekalkan harga barang.

Pasupati K.A. Palaniappan

Menurutnya, tiada guna kerajaan memberi bantuan wang tunai jika harga barang berterusan meningkat dan rakyat berpendapatan rendah kekal dengan kekurangan kuasa untuk membeli.

Tambah Pasupati, rakyat Malaysia dalam golongan pertengahan dan ke bawah mengharapkan sesuatu yang lebih baik seperti harga barang diturunkan dan dikekalkan.

“Harga ayam dahulu hanya sekitar RM4 hingga ke RM5 per kilogram, tetapi sekarang sudah RM9. Begitu juga minyak masak yang kini sudah mencecah RM30 sebotol.

“Sebelum ini saya beli minyak botol 5 liter hanya kira-kira  RM20 ke atas, sekarang ia sudah mencecah RM40 per botol, bagaimana untuk teruskan hidup?

Mengulas lanjut, katanya, jika kerajaan bercadang untuk teruskan bantuan kepada rakyat dengan wang tunai RM100, namun jika  perbelanjaan harian isi rumah melebihi jumlah itu, jadi ia tiada membantu.

“Dahulu pergi pasar dengan jumlah RM30, saya dapat membeli pelbagai barangan, tetapi kini dengan RM150  saya belum tentu dapat membeli dengan tenang,” luahnya kesal.

Pasupati turut mengenangkan rakannya yang merupakan pemandu teksi yang menurutnya sangat menderita kerana  untuk memperoleh pendapatan yang mencukupi.

“Paling tinggi pendapatan pemandu teksi sekarang ini hanya kira-kira RM50 sehingga RM70 sehari, bagaimana nak seimbangkan dengan perbelanjaan untuk keperluan harian yang meningkat ketika ini,” ujarnya.

Sementara itu, pembantu farmasi, Syahzanani Husna Jamil, 27, turut meluahkan kesukarannya untuk berbelanja dan menyimpan wang saku.

Katanya, separuh pendapatan bulanan yang diperolehnya akan habis dibelanjakan hanya dengan membeli barang mentah untuk memasak.

Syahzanani Husna Jamil

“Saya baru hendak merasa gaji naik sikit, tetapi harga barang pula naik seiring dengan gaji. Sampai separuh dari gaji hanya boleh barang mentah.

“Jika gaji dinaikkan, namun harga barangan keperluan lain naik lebih tinggi daripada gaji, bagaimana kehidupan anak-anak muda yang baru hendak memulakan kehidupan berumah tangga?” soalnya.

Menurut Syahzanani, kerajaan bukan hanya perlu memberi  tumpuan kepada kempen pilihan raya  semata-mata, tetapi perlu juga memberi keutamaan kepada masalah rakyat.

“Saya berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk memulihkan semula ekonomi  negara supaya saya, keluarga dan rakan-rakan yang senasib dapat menyesuaikan diri semula dengan perbelanjaan harian yang kini  semakin melambung tinggi,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Azzida Abdul Rahman, 27, berharap kerajaan dapat mencari solusi dan menawarkan insentif yang menarik kepada bakal graduan institut pengajian tinggi.

Azzida Abdul Rahman

Menurutnya, tenaga  dan kepakaran golongan graduan wajar diguna pakai untuk membangunkan negara pada masa akan datang dan tidak dibiarkan menjadi sia-sia.

“Kerajaan perlu tawarkan insentif menarik untuk golongan graduan supaya setelah  tamat pengajian, mereka tidak hanya akan menganggur.

“Begitu juga kenaikan gaji yang relevan, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah susulan kenaikan harga barang. Bantuan untuk ini juga perlu diperbanyakkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2022

- Advertisement -