Ujian dan cabaran terhadap kepimpinan ummah

- Advertisement -

MEMIKUL tugas sebagai Amir atau Presiden sebuah gerakan Islam bukannya suatu tugas yang mudah. Ia penuh cabaran, dugaan dan jika seseorang itu tidak kuat semangatnya, tidak ada persediaan apatah lagi tidak kuat hubungannya dengan Allah S.W.T pasti akan berhadapan dengan kegagalan dan kekecewaan.

Demikianlah saya pasti beban yang terpikul di bahu Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, dalam mendepani dan menangani kerencaman politik semasa. 

Politik Malaysia hari ini khasnya yang melibatkan kepentingan politik umat Melayu Islam dambakan satu formula yang tuntas dan meyakinkan bagi menjamin ianya tidak lagi terancam sehingga mencetuskan ketidakstabilan dan kebimbangan ummah. 

Kuasa politik Melayu Islam biar terus memimpin tidak lagi mudah ditundukkan sebagaimana yang pernah berlaku pasca PRU14 dahulu, sehingga ketika itu bumi dipijak diragui masihkah lagi milik kita.

Besarnya kesan ini kerana ia berkait dengan kestabilan negara, sebagai blok pengundi dan penduduk majoriti dalam negara, kiranya kukuh kesatuan umat Melayu Islam maka akan kukuh dan stabillah negara, makmur dan sejahteralah rakyatnya. 

Ketika itu semua termasuk rakyat berbilang kaum dapat hidup dengan aman dan damai dengan memberi fokus pada pembangunan ekonomi dan kemajuan negara. Jika tidak semuanya menjadi cemas, membara pecah-belah yang hanya membawa kepada ketidaktentuan yang tidak sihat buat rakyat dan masa depan negara.

Sejak sebelum PRU ke-14 lagi PAS sangat menitikberatkan kesatuan dan Penyatuan Ummah kerana bimbang pelbagai ancaman boleh mengakibatkan kuasa politik Melayu Islam yang walaupun asalnya majoriti, tetapi apabila berpecah-belah boleh an ianya menjadi lemah dan dikuasai oleh golongan minoriti yang kukuh bersatu.

Ternyata kebimbangan PAS menjadi realiti dalam PRU ke-14 lalu sehinggakan tulang belakang Kerajaan Persekutuan di Putrajaya buat pertama kalinya tidak lagi didominasi wakil Melayu Islam. Begitu juga berlaku di beberapa buah negeri ketika itu.

Lantas atas kegagalan itu PAS segera bangkit menjadi pemangkin mencetuskan keperluan untuk parti-parti teras Melayu Islam agar segera kembali kepada tuntutan agama untuk bersatu dan membina kekuatan yang boleh mempertahankan kekuatan dan survival ummah.

Hari ini Pilihan Raya Umum ke-15 sudah semakin hampir. Namun demikian seakan kita tidak serik ataupun mengambil iktibar pada kehampaan yang berlaku pada PRU14, dan jika ianya dibiar begitu tidak mustahil kita bakal mengulangi kesilapan yang lampau dengan menyerahkan kuasa secara mudah dan percuma pada Pakatan Harapan yang didominasi DAP.

Sebagai ketua sebuah gerakan Islam, Presiden dan kepimpinan PAS tidak boleh terlepas dari memikul tanggungjawab memastikan masa depan ummah terjamin, Islam tidak boleh kelihatan terancam akibat perkembangan politik semasa yang dibiarkan tidak terkawal.

Kesungguhan Tuan Guru menjadi pembimbing dan fasilitator menjelang PRU ke-15 ini agar suatu ‘gencatan senjata’ dan seterusnya kesepakatan dapat dicapai sesama parti teras Melayu Islam perlu diberi perhatian semua pihak. Ini bukan masanya untuk kita bermusuhan sesama sendiri dengan membelakangkan kepentingan Agenda Penyatuan Ummah. 

Suasana politik semasa cukup mencabar, tiada pihak yang dapat mendakwa bahawa ia mampu bersendirian menongkah arus yang mengancam masa depan ummah ini. Jangan kerana tersilap langkah dan tersilap baca, kampung halaman dan maruah bangsa semuanya tergadai dan tiada harga lagi.

Ramai kagum melihat inisiatif Tuan Guru berjumpa dan berdialog tanpa jemu dengan pimpinan Melayu Islam agar agenda besar ini terus hidup dan bakal menjadi formula penyelesaian permasalahan ummah. Tuan Guru menganggap semua sebagai kawan lantaran tautan aqidah yang mengikat rapat kita semua.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera menjadi pendekatan, kerana itu Tuan Guru mengajak semua pihak agar tidak mencucuh api permusuhan sesama sendiri yang hanya akan membakar diri tetapi sebaliknya talakan fokus kepada musuh sebenar Penyatuan Ummah iaitu Pakatan Harapan yang didominasi DAP serta sekutu-sekutunya dan agenda ‘Khemah Besar’nya.

Langkah Tuan Guru ini diperkukuhkan lagi oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Hj Hashim Jasin yang menggesa agar agenda besar Penyatuan Ummah ini direalisasikan dengan PAS menjadi terajunya. Mursyidul Am turut memberi harapan besar bahawa kestabilan negara tercinta yang pastinya membawa manfaat buat semua hanya akan tercapai kiranya agenda besar Penyatuan Ummah ini dihidupkan.

Ahli-ahli dan pendukung PAS dalam pada itu diperingatkan agar memelihara dan mematuhi Tanzim dan disiplin parti dengan menerima segala ketetapan dan keputusan yang dibuat terutama oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas dasar wala’ dan taat yang tidak berbelah bahagi.

Tugas dan misi Tuan Guru Presiden, Mursyidul Am dan pimpinan kita bukannya sesuatu yang mudah, ia perlu cukup teliti dan halus dengan penuh diplomasi dan tolak ansur bersendikan syariah lebih-lebih kita sebagai peneraju gerakan Islam dalam negara.

Kerana itu peringatan yang diberikan kepada ahli-ahli dan pendukung PAS ini bermaksud agar kita tidak terlebih sudu dari kuah. 

Jangan celupar dan mengeluar pendapat di media sosial sesuka hati sehingga mengganggu urusan dan misi pimpinan dan lebih malang kelak merugikan perjuangan.

PAS bukan sebuah parti kuku besi dan menutup mulut ahlinya, tetapi kebebasan bersuara dan mengeluar pandangan dalam PAS sebuah gerakan Islam, sentiasa tertakluk pada kepatuhan, peraturan dan hukum yang mengikat semua ahli dan pimpinan PAS.

Yang penting dengan hampirnya Pilihan Raya Umum ini, sebagaimana arahan dikeluarkan Setiausaha Agung PAS, semua pihak sewajarnya memberi tumpuan pada pemerkasaan dan siap-sedia jentera pilihan raya di pelbagai peringkat. Jentera PAS perlu diperkukuh dengan persiapan yang sebaik mungkin.

Serahkan urusan perancangan dan perjuangan parti khususnya dalam membentuk kerjasama bagi menghadapi PRU ke-15 kepada Presiden parti dengan bantuan dan nasihat Majlis Syura Ulamak. 

PAS tetap mengharapkan agar dalam PRU ke-15 nanti,satu kerjasama politik dalam bentuk gagasan Penyatuan Ummah dapat tercapai, masing-masing bertanding bersama satu lawan satu menentang PH dan melaluinya kuasa politik Melayu Islam dapat memenangi dua pertiga majoriti di Parlimen sehingga mampu memperjuang dan mempertahan nasib dan masa depan agama dan bangsa dengan lebih efektif, meleraikan segala ancaman dan menjulang maruah serta kedaulatan ummah.

Bersamalah kita thiqah dan memberikan keyakinan dan kepercayaan pada pimpinan tertinggi untuk melaksanakan misi besar ini.

Berkat usaha mereka dan doa kita semua, semoga Allah S.W.T menganugerahkan kemenangan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 6/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -