Sistem wakaf di Malaysia semakin berkembang

- Advertisement -

SABAN hari semakin berkembang sistem wakaf di Malaysia. Dalam Parlimen hari ini, saya ditanya oleh Pontian berkenaan pencapaian semasa dan perancangan masa depan sistem wakaf. 

Melalui Bajet 2022, Kerajaan Persekutuan menyediakan dana berjumlah RM10 juta bagi kegunaan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) antaranya untuk pelaksanaan Wakaf Halal – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian Bersepadu (WATANI) dan Wakaf Bencana dan sebagainya. 

Pautan portal YWM
https://www.ywm.gov.my/ 

Penglibatan badan korporat dalam kerjasama dan menawarkan produk wakaf juga meningkat seperti Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Waqaf FELDA, CIMB Islamic dan Bank Rakyat. 

Lebih membanggakan kerjasama strategik antara kementerian dan YWM merancakkan lagi inovasi wakaf. Contohnya projek Wakaf Air dan Wakaf Masjid Hijau bersama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). 

Pautan projek Wakaf Air
https://www.ywm.gov.my/wakaf-air 

Selain itu, tanah-tanah wakaf dibangunkan dengan projek yang berimpak tinggi terutamanya dalam sektor pendidikan, ekonomi, kesihatan, perumahan dan kebajikan. 

Antaranya seperti Pangsapuri Wakaf Siti dan Hajjah Norijah di Sungai Nibong, Pulau Pinang, Taman Sultan Sallehuddin di Teluk Chengai, Kedah, Pusat Hemodialisis di Batu Pahat, Johor dan pembinaan Bazar Rakyat di lokasi terpilih di seluruh negara. 

Turut dilaksanakan juga adalah potongan cukai tidak melebihi 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi sumbangan wakaf tunai yang diberikan kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan universiti awam. 

Ketika ini kerajaan sedang membangunkan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN) bagi tempoh 2022 hingga 2030 untuk memperkasa dan merancakkan perkembangan wakaf di negara ini. 

Pelan ini mengambil kira pelbagai aspek ke arah menambah baik pengurusan hal ehwal wakaf termasuk merangka pelbagai inisiatif bagi melonjakkan sumbangan wakaf kepada kewangan sosial Islam. 

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa komited dalam mengembangkan inovasi wakaf di negara kita selaras dengan agenda tahun 2022 adalah tahun pemerkasaan institusi wakaf. 

Besar harapan saya agar masyarakat kita turut bersama-sama menyokong dan menyumbang kepada pembangunan wakaf di Malaysia.

YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 6/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -