PM tinggalkan Istana Negara, bubar Parlimen masih samar

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
Teka teki pembubaran Parlimen yang diperkatakan meluas di seluruh negara sehari dua ini nampaknya terus samar apabila Perdana Menteri meninggalkan Istana Negara jam 4.45 petang tadi tanpa sebarang isyarat.

Petugas media yang berkumpul di luar pintu pagar istana hampa selepas sehari suntuk mereka menunggu mendapat maklumat berkaitan pembubaran Parlimen.

Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan pekarangan Istana Negara menaiki SUV berwarna putih. Beliau sekali lagi sekadar melambai ke arah petugas media.

- Advertisement -

Sebelum itu Perdana Menteri tiba di Istana Negara pada 3.48 petang. Beliau mengambil masa kurang sejam ketika sesi menghadap.

Sedangkan media arus perdana begitu ghairah menggambarkan Parlimen dibubar dalam masa terdekat ekoran mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno baru-baru ini terus mendesak Parlimen dibubarkan segera.

Penggal Parlimen ke-14 dijangka berakhir pada Julai 2023.

Sebaliknya pagi tadi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN).

Ketika memberitahu media selepas itu Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, baginda menitahkan supaya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal banjir serta pelarasan agihan bantuan bencana kepada mangsa.

Menurutnya juga baginda berpuas hati terhadap persiapan dilakukan PRABN berdepan kemungkinan banjir ekoran Monsun Timur Laut.

Media melaporkan pada lawatan itu baginda diberi taklimat mengenai cuaca akhir tahun dan situasi banjir.

Taklimat disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Ir Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah.

Perkembangan yang berlaku itu secara tidak langsung membayangkan tumpuan kerajaan sekarang menghadapi banjir dan bukannya pilihan raya umum. – HARAKAHDAILY 6/10/2022

- Advertisement -