Majlis menghadap PM berkaitan mesyuarat pra-Kabinet

Foto daripada Facebook Istana Negara.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara hari ini.

Menurut catatan di Facebook Istana Negara, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berhubung urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

- Advertisement -

Turut dimuat naik empat keping gambar menunjukkan Ismail Sabri mengadakan perbincangan bersama Seri Paduka.

Pergerakan Perdana Menteri hari ini menjadi tumpuan media susulan spekulasi mengenai pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertiup kencang.

Pada Selasa, Ismail Sabri mengesahkan beliau akan menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada hari ini, dan banyak spekulasi mengaitkan pertemuan itu bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen.

Perdana Menteri memasuki pintu pagar utama Istana Negara pada 3.49 petang dengan menaiki kenderaan rasmi kerajaan dan sempat melambai ke arah petugas media yang menanti sejak pagi, sebelum dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara pada 4.45 petang. – BERNAMA

- Advertisement -