Doa agar mendapat pemimpin yang baik

- Advertisement -

KETIKA ini, hampir setiap jam isu terkini dan terbaharu politik Malaysia dengan mesyuarat tergemparnya, kenyataan medianya, pertemuan, perbincangan menjadi rencah politik semasa.

Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan walaupun diri ini bersama PAS berpandangan tidak sesuai diadakan Pilihan Raya pada musim tengkujuh.

Justeru, saya gagahkan diri ini untuk melakarkan satu coretan sebagai nasihat yang tulus dari hati untuk melihat sinar bahagia dan natijah yang baik bagi Malaysia dan rakyatnya. Itulah harapanku. Amin.

Saya mulakan coretan ini dengan kalam suci Tuhan, firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Ali-Imran: 26)

Selalu saya mendengar pemimpin berkata jawatan itu adalah taklif dan bukan tasyrif. Ia perlulah diterjemah dengan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan jawatan ini mestilah diletakkan di atas bahu pemimpin yang mampu menggalasnya.

Daripada Abu Zar R.A, katanya yang bermaksud: “Ya Rasulullah! Lantiklah aku untuk satu jawatan!” Lalu Rasulullah S.A.W menepuk bahunya dan bersabda:

يَا أَبَا ذَرٍّ، إِنَّكَ ضَعِيفٌ، وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ، وَإِنَّهَا يَوْمَ القِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ، إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيْهَا

 “Hai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah dan ini perkara amanah. Di akhirat nanti ia akan menghina dan mendukacitakan kecuali orang yang dapat menjalankan dengan penuh kebenaran serta melaksanakan tugas yang dipikul ke atas tengkuknya.” 

(Riwayat Muslim (4823))

Kelayakan dan keahlian serta sifat kepimpinan yang digariskan oleh ulamak seperti Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah dan lain-lain lagi jelas menunjukkan betapa ianya amat berat yang wajib dipikul dengan sifat amanah yang tinggi.

Sesungguhnya ijtihad siyasi atau politik adalah perkara yang payah dan sukar. Sementelahan lagi untuk membuat satu keputusan serta mempersetujuinya untuk dilaksanakan, sudah tentu akan membawa kepada sejuzuk pengorbanan yang cukup besar.

Cumanya, permintaan diri saya dan rakyat Malaysia seluruhnya agar setiap yang dilantik hendaklah mentashihkannawaitu semata-mata untuk agama, bangsa, tanah watan dan negara yang dicintainya ke arah yang lebih maju, sejahtera dan harmoni. Amin.

Marilah mengangkat tangan bermunajat kepada Allah S.W.T:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

“Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.”

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY6/10/2022

- Advertisement -