Data meteorologi: MetMalaysia lancar portal myMETdata

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui Pusat Iklim Nasional hari ini melancarkan myMETdata iaitu portal permohonan data meteorologi secara dalam talian di bawah Projek Peningkatan Perkhidmatan Iklim.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata melalui portal itu orang awam boleh membuat permohonan atas talian tanpa perlu hadir ke kaunter selaras saranan kerajaan ke arah pendigitalan sektor awam.

- Advertisement -

“Matlamat utamanya untuk memudahkan orang awam mengenal pasti serta memilih lokasi stesen yang dikehendaki dan menyemak kebolehdapatan data yang ingin dimohon.

“MyMETdata ialah sistem permohonan data meteorologi secara dalam talian selain daripada permohonan di kaunter dan e-mel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut merasmikan Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut 2022/2023 bertemakan Cabaran Perubahan Iklim:Bersediakah Kita? yang diadakan menerusi webinar Forum Iklim Kebangsaan.

“Tema berkenaan dipilih kerana mengambil kira isu perubahan iklim yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia pada masa kini.

“Menerusi Laporan Kumpulan Kerja Pertama bagi penghasilan laporan Penilaian Keenam Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim yang dikeluarkan pada Ogos tahun lalu, menunjukkan pemanasan global sudah pun mencapai 1.1 darjah Celsius,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata laporan ini menyatakan sekiranya pemanasan global melangkaui had 1.5 darjah Celsius, maka akan berlaku keragaman cuaca ekstrem seperti kemarau, hujan lebat dan banjir.

“Gelombang haba juga bakal meningkat dengan intensiti yang lebih tinggi serta impak yang lebih kuat akan berlaku kepada alam seluruhnya.

“Dalam menangani senario perubahan iklim ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air amat komited dalam memastikan cabaran dan impak perubahan iklim dapat diatasi melalui pelan tindakan mitigasi dan adaptasi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -