Soalan setara standard murid Tingkatan 1-3

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai tahun ini menambah baik ujian akhir sesi akademik dengan menyediakan soalan yang setara standard bagi murid Tingkatan 1 hingga 3.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata soalan tersebut disediakan oleh guru yang berkepakaran dalam pembinaan item dan disimpan dalam bank soalan yang dibangunkan oleh KPM.

- Advertisement -

Menurutnya, pihak sekolah pula akan menjana set soalan daripada sistem tersebut dan ditadbir di sekolah seperti akhir tahun sebelum ini dengan panduan penskoran juga akan disediakan untuk kemudahan guru.

Katanya, penambahbaikan ujian akhir sesi akademik membolehkan KPM melihat standard pencapaian murid di seluruh negara.

“Ini akan membantu KPM merangka pendekatan bersesuaian jika terdapat trend yang menunjukkan pencapaian bagi kohort atau kumpulan tertentu yang memerlukan intervensi khusus,” katanya menjawab soalan lisan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Tarmizi meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan keberkesanan kaedah penilaian penguasaan dan pencapaian murid yang diukur melalui pentaksiran secara sumatif dan dijalankan pada akhir tahun memandangkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah dimansuhkan.

Dr Mohd Radzi berkata, mengambil kira soalan yang setara standard di seluruh negara, pelaporan ujian akhir sesi akademik akan digunakan untuk membolehkan intervensi awal dilakukan oleh guru dan ibu bapa bagi mengoptimumkan potensi setiap murid.

Namun, katanya pelaporan itu bukan untuk membandingkan pencapaian antara murid atau sekolah.

“Guru juga boleh menggunakan maklumat daripada pelaporan pentaksiran sumatif untuk merancang dan melaksanakan strategi yang lebih konstruktif dan bermakna bagi menggalakkan penglibatan aktif murid dalam pembelajaran,” katanya.

Beliau yakin bahawa pentaksiran yang bersifat holistik dan berterusan melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi murid secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 5/10/22

- Advertisement -