PAS mesyuarat Sabtu ini bincang rakan kerjasama politik

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pucuk pimpinan tertinggi PAS akan bermesyuarat Sabtu ini untuk membincangkan perkara berkaitan ketetapan parti itu berhubung kerjasama rakan politik dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang ditadbir parti berkenaan.

Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad berkata keputusan berhubung pendirian parti itu berkemungkinan akan diumumkan selepas mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Tiga negeri di bawah pentadbiran PAS ialah Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata kerajaan negeri yang diterajui PAS tidak akan membubarkan DUN masing-masing lebih awal daripada Mac 2023.

Ditanya mengenai parti yang PAS cenderung untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata PAS mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional dan Umno.

“Kita mahu dua-dua pihak,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 Tahun 2022 di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata PAS perlu memutuskan secepat mungkin sama ada mahu bekerjasama dengan Umno bagi menghadapi PRU15. – BERNAMA

- Advertisement -