Intai kerusi MB ke-4 wakili Parti Islam

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

RIUH
semula politik negara apabila PM diuar-arkan mahu mengadap Yang di-Pertuan Agong esok. Ia cuba digambarkan parlimen akan dibubar dalam tempoh terdekat.

Ia juga seiring dengan berkuatkuasa larangan ahli parlimen bertukar parti. Akta itu berkuatkuasa hari ini.

Sebelum ini hampir setiap hari Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak parlimen dibubar segera. Malah teriakan bubar… bubar juga berulang kali di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Tiba-tiba semalam media melaporkan Ahmad Zahid menyerah kepada PM mengusulkan pembubaran parlimen. Apakah ia seumpama pukul anak sindir menantu.

- Advertisement -

Selepas desak bertalu-talu, akhirnya Umno cuba berselindung, itu kuasa Ismail Sabri Yaakob. Sedangkan beberapa hari sebelum ini Ismail menyebut tiada sesiapa pun boleh mendesaknya bubar parlimen.

Inilah persimpangan yang dihadapi Ismail. Beliau bukan presiden Umno, sebaliknya sekadar naib presiden. Bagi Umno situasi sekarang sangat pelik.

Namun, ada parti lain telah lama memisahkan eksekutif dengan parti. PAS juga mengamalkan polisi itu. Di Terengganu, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bukan Pesuruhjaya PAS negeri.

Begitu juga di Kedah Mohammad Sanusi Md Nor biarpun dilantik sebagai menteri besar, namun bukan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Pesurujaya PAS Terengganu Hussin Awang tidak pernah kacau ganggu pentadbiran kerajaan negeri. Begitu juga Ahmad Yahaya mendukung Sanusi dari belakang.

Malangnya situasi itu tidak berlaku kepada Ismail Sabri. Presiden Umno dilihat acap kali memberi tekanan kepada perdana menteri.

PM atau Presiden Umno

Biarpun sejarah sebelum ini PM dikatakan tidak pernah berbincang dengan jemaah kabinet untuk membubar parlimen, namun situasi ketika itu jauh berbeza.

Sebelum 9 Mei 2018, PM dan presiden Umno orang yang sama. Begitu juga Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri hampir semua dari Umno. Maknanya PM tidak perlu berbincang dengan presiden Umno kerana batang tubuh yang sama.

Menteri Parlimen dan Undang-Undang Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, belum pernah PM berbincang dengan jemaah menteri untuk bubar parlimen.

Kenyataan itu ada asasnya kerana PM dan presiden Umno orang sama. Jemaah menteri juga pemimpin kanan Umno. Maknanya tidak perlu bincang di Putrajaya, sebaliknya sekadar buat keputusan di WTCKL.

Bagaimanapun ketika teka teki PRU semakin hangat, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin pula berterus terang. Katanya PAS jadi abang Bersatu di Perlis. Menarik juga kenyataan itu.

Apabila Hamzah sebut PAS sebagai abang di Perlis, maknanya Bersatu mengakui kekuatan PAS di negeri itu. Bukan sekadar usia PAS jauh lebih tua, sebalik pengaruhnya sudah lama membiak.

Usia PAS sekarang sudah berada di era warga emas dengan angka 71, sedangkan Bersatu baru 6 tahun.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 di Perlis PAS menguasai Dun Sanglang dan Guar Sanji. Manakala BN pula menang 10 kerusi Dun iaitu Bintong, Kayang, Tambun Tulang, Simpang Empat, Pauh, Mata Ayer, Chuping, Santan, Beseri dan Titi Tinggi.

Manakala PH memenangi Dun Kuala Perlis, Indera Kayangan dan Sena. Bagi peringkat parlimen, BN kuasai Parlimen Arau dan Padang Besar. Satu lagi dimenangi PH melalui PKR di Parlimen Kangar.

Keluar PN atau berkawan Umno

Hamzah membuat kenyataan tersebut selepas pertemuan khas bersama pimpinan PN Perlis. Pada sidang media selepas itu beliau memberi bayangan calon Menteri Besar (MB) dari PAS sekiranya PN berjaya menawan Perlis.

“Tidak salah jika abang kita dari PAS akan jadi Menteri Besar di Perlis,” katanya. Turut hadir pada program terbabit Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli dan Pengerusi Bersatu negeri Abu Bakar Hamzah.

Apakah ada asas sehingga Hamzah memberi bayangan Perlis antara sasaran PN. Ia tidak salah kalau ditengok prestasi Bersatu sekarang mempunyai lebih 700,000 ahli berdaftar.

Malah Bersatu juga menerima sokongan masyarakat bukan Melayu. Hamzah mendakwa berlaku pertambahan sokongan bukan bumiputera kepada Bersatu.

“Ramai yang pada awalnya tidak berapa yakin, tetapi sekarang hadir meyakinkan kita dalam misi menawan Perlis,” katanya. Berdasar perkembangan terbabit tidak dapat dinafikan PN mampu bertapak di Perlis pada PRU15.

Abu Bakar pula membayangkan sekiranya PAS bertanding lapan kerusi Dun, tujuh lagi diberi ruang kepada Bersatu.

Manakala bagi peringkat parlimen perkiraan awal dua kerusi diperuntuk untuk Bersatu dan PAS (1). Parlimen Arau disebut-sebut diberi ruang kepada PAS, manakala Kangar dan Padang Besar pula Bersatu.

Malah kekuatan PN Perlis tambah mekar dengan kehadiran bekas pemimpin veteran Umno. Antaranya Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Azmi Khalid, Syed Razlan Putra Jamalullail dan Abdul Jamil Saad.

Tumpuan kerusi parlimen di Perlis terarah kepada Bersatu dan Dun pula biar PAS jadi abang. Sekiranya teori itu ngam, telahan Hamzah PAS jadi calon MB boleh jadi kenyataan. Ia juga sebagai bayangan jawapan terhadap kata dua Zahid. PAS keluar PN atau berkawan Umno. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -