Hukuman lebih berat menanti penjenayah alam sekitar

Sungai Kim Kim di Johor yang pernah mengalami pencemaran yang serius
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini, akan menaikkan kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi tempoh 5 tahun.

Selain itu, kadar kompaun ditingkatkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.

- Advertisement -

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pindaan itu juga menetapkan denda maksimum RM10 juta bagi kesalahan melibatkan pencemaran air, pencemaran buangan minyak serta buangan di perairan Malaysia dan pelupusan haram buangan terjadual.

“Selain itu, penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun boleh dikenakan ke atas kesalahan melibatkan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air dan ketidakpatuhan keperluan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA),” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yakin RUU ini dapat memantapkan penguatkuasaan, pencegahan pencemaran dan jenayah alam sekitar daripada terus berulang.

Selain itu, katanya RUU ini diyakini akan mendidik pihak industri dan masyarakat untuk bersama melestarikan alam sekitar.

Katanya lagi, ketegasan melalui peningkatan denda ini adalah isyarat komitmen berterusan kerajaan dalam membanteras pencemaran dan jenayah alam sekitar di Malaysia.

“KASA merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penggubalan dan pemuktamadan RUU ini, terutama semua Ahli Dewan Rakyat dan pembahas serta Jabatan Peguam Negara sehingga diluluskan sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2022

- Advertisement -