Fertigasi: 20 petani usahakan tembikai raih pendapatan lumayan

Foto daripada Facebook Jabatan Pertanian Kelantan.
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Seramai 20 peserta program Farmers Field School yang mengusahakan tanaman tembikai menggunakan sistem fertigasi meraih pendapatan lumayan antara RM10,000 hingga RM40,000 sehektar dalam tempoh tiga bulan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata secara keseluruhan, peserta program yang merupakan petani dari daerah Pasir Puteh dan Bachok, mengusahakan tembikai di kawasan seluas 15.5 hektar bermula Ogos lepas sebagai tanaman percubaan.

- Advertisement -

“Sebahagian daripada 18 tan metrik hasil tanaman akan dieksport ke China menerusi sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur dengan harga lantai RM2.60 sekilogram. Sebahagian lagi akan dijual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan dipasarkan di kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ladang tembikai seorang daripada peserta program di Kampung Haji Wan Omar, Tok Bali di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata sistem fertigasi berjaya mempercepatkan pengeluaran hasil tembikai dan lebih penting dapat menjimatkan 50 peratus kos pengeluaran yang biasanya memerlukan modal RM10,000 sehektar.

“Tanaman tembikai menggunakan sistem fertigasi juga boleh diusahakan dua musim dalam setahun termasuk pada musim tengkujuh yang sebelum ini tidak boleh dilakukan kerana dikhuatiri ditenggelami air. – BERNAMA

- Advertisement -