Undang-Undang Kesatuan Sekerja perlu lindungi hak pekerja

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KUALA LUMPUR: Pekerja di negara ini perlu diberikan kebebasan bersuara dan keadilan dengan hak mereka dilindungi menerusi Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata pindaan undang-undang itu perlu mengutamakan aspek menjaga kepentingan pekerja supaya mereka tidak ditindas dan dizalimi.

- Advertisement -

Katanya, ini termasuk kebebasan untuk menubuhkan dan menganggotai kesatuan sekerja yang menjadi pilihan mereka sendiri.

“Begitu juga hak mereka jika tidak ada persefahaman dengan kepimpinan kesatuan yang dianggotai,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata, keadilan jika dilihat dari sudut Islam merangkumi beberapa elemen seperti tidak berlaku sebarang penindasan, tidak ada kepentingan diri serta tidak melakukan kezaliman.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan memperhalusi isu berkaitan seseorang individu yang menganggotai lebih daripada satu kesatuan sekerja.

“Satu garis panduan perlu diperhalusi berhubung perkara ini bagi menjamin tiada elemen sabotaj dalaman demi menjamin keadilan kepada keseluruhan anggota kesatuan.

“Dalam konteks lebih luas, adakah jika dibenarkan kebebasan keanggotaan dan penubuhan kesatuan pekerja lebih daripada satu dapat berperanan sebagai kumpulan pendesak atau hanya menjadi alat gangguan sebagai proksi bagi golongan atau pihak majikan yang ada kepentingan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/22

- Advertisement -