Teknologi moden bongkar perlombongan haram NR-REE di Kedah

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Sistem Pemantauan Hutan Menggunakan Penderiaan Jauh (FMRS) berjaya membantu membongkar aktiviti perlombongan haram nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bernilai jutaan ringgit di Sik, Kedah.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kegiatan di Hutan Simpan Bukit Enggang dikesan melalui paparan imej yang jelas menggunakan GIS dan FMRS, selain aduan orang awam kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

- Advertisement -

Katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah kemudian menyerbu lokasi itu dan menahan warga asing yang disyaki terbabit dalan aktiviti itu.

“Bukan GIS tidak berjaya, tetapi ada kemungkinan tidak berkesan sepenuhnya apabila imej tidak dapat dikesan kerana faktor seperti mungkin dilitupi pokok kanopi tebal dan sebagainya.

“Di Sik, aktiviti perlombongan dibuat dalam keadaan camouflage (penyamaran). Khemah yang digunakan tidak ada beza dengan hutan. Kabin yang dibina menggunakan warna hijau. Namun GIS membantu (mengesan) walaupun tidak sepenuhnya,” katanya menjawab soalan tambahan Wong Tack (PH-Bentong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Wong meminta Kementerian Tenaga dan Sumber ASli (KeTSA) menjelaskan faktor kerajaan masih menggunakan GIS jika dikatakan tidak berkesan sepenuhnya.

Sementara itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) meminta penjelasan KeTSA berhubung tindakan selanjutnya terhadap pihak yang terbabit dalam kegiatan perlombongan haram NR-REE di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Takiyuddin berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah menahan seorang warga China di tempat kejadian dan menyita peralatan perlombongan pada 28 September lalu.

Ketika tangkapan dibuat di kawasan hutan terpencil, katanya Jabatan Perhutanan Negeri Kedah turut menemui pelbagai NR-REE bernilai jutaan ringgit.

“Kerajaan amat serius dalam usaha membanteras pembalakan haram dan perlombongan haram. Jadi, inilah tindakan dan hasil yang telah dibuat oleh kerajaan dan agensi terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -