Saudi lanjutkan visa umrah untuk jemaah haji dari semua negara

- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan pelanjutan visa umrah kepada tiga bulan untuk jemaah haji dari seluruh dunia.

Menteri Haji dan Umrah, Dr. Tawfiq Al-Rabiah berkata, visa umrah telah dilanjutkan dari satu hingga tiga bulan untuk semua menunaikan umrah dari semua negara, lapor The Siasat Daily.

Al-Rabiah berkata demikian pada Ahad semasa lawatan rasmi dua hari beliau ke Uzbekistan dan kunjungannya adalah lanjutan daripada hubungan sejarah terbilang yang mengikat kedua-dua negara dan menghasilkan banyak perjanjian dan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk sektor Haji dan Umrah.

Semasa lawatan itu, cara meningkatkan kerjasama strategik dua hala antara kedua-dua pihak telah dikaji semula untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji Uzbekistan.

Perbincangan terutamanya berkisar tentang automasi semua perkhidmatan dan program yang kini disediakan secara elektronik melalui platform NSK dan pengeluaran visa lawatan dan umrah yang pantas.

Terdahulu, pada 26 Sept lalu, kementerian Haji dan Umrah Saudi telah melancarkan platform elektronik bersatu Nusuk untuk menjadi pintu masuk baharu Saudi ke Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah.

Seterusnya pada 28 Sept, kementerian berkenaan menyeru jemaah haji di seluruh dunia untuk mendapatkan kemas kini penting untuk mendapat manfaat daripada aplikasi Nusuk yang telah menggantikan aplikasi Eatmarna.

Kerajaan juga menetapkan syarat untuk mengeluarkan permit untuk anak-anak yang ditemani ibu bapa mereka untuk menunaikan haji atau umrah ke Masjidil Haram.

Kanak-kanak berumur lima tahun ke atas boleh mendapatkan visa dan dibenarkan menemani ibu bapa mereka menunaikan solat di dalam Masjidil Haram.

Dalam pada itu, Saudi Gazette melaporkan Tawfiq turut menyampaikan salam Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Saudi, Mohammed Bin Salman kepada Presiden Mirziyoyev dan kerajaan serta rakyat Uzbekistan, tidak ketinggalan hasrat mereka untuk terus berkembang untuk Uzbekistan.

Mereka mendoakan kemakmuran kepada Uzbekistan berikutan pembaharuan yang sedang disaksikan oleh republik itu, sambil menekankan bahawa lawatan itu adalah lanjutan daripada hubungan bersejarah yang terbilang antara kedua-dua negara dan menghasilkan beberapa perjanjian kerjasama dalam pelbagai bidang.

Perjanjian itu terutamanya dalam Haji dan Umrah, yang mencerminkan usaha besar kepimpinan dalam berkhidmat kepada Islam dan umat Islam dan memudahkan prosedur untuk jemaah haji dan umrah.

Permulaan musim umrah baru untuk jemaah dari dalam dan luar Kerajaan bermula pada pertama Muharram tahun depan 1444 Hijrah, bersamaan dengan 30 Julai 2022.

Kerajaan Saudi  menjangkakan lebih 10 juta jemaah Islam akan menghadiri musim baharu umrah atau haji yang lebih kecil, ramalan yang mengingatkan nombor pra-pandemik. -HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -