Liverpool perlu belajar bertahan dengan cara berbeza

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp
- Advertisement -

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp, mengeluh dengan kealpaan pertahanan pasukan itu yang melepaskan terlalu banyak gol serupa dalam perlawanan musim ini dan pemain perlu kembali kepada asas untuk menguatkan pertahanan.

Terkenal dengan gaya permainan tekanan balas yang membantu Liverpool bersaing musim lalu, gawang pasukan Klopp berulang kali bocor musim ini dan hanya mampu bertahan tanpa bolos dalam dua perlawanan.

- Advertisement -

Keputusan seri 3-3 menentang Brighton & Hove Albion meletakkan Liverpool ke tangga kesembilan dalam Liga Perdana dan Klopp mahu pasukan keluar daripada krisis dengan cara yang sama seperti ketika kehilangan beberapa pemain pertahanan akibat kecederaan dua musim lalu.

“Apabila ada masalah dan anda fikir mempunyai penyelesaian, lakukan dengan segera,” kata Klopp menjelang perlawanan kumpulan Liga Juara-Juara menentang Rangers, hari ini.

“Kami melepaskan gol dengan gaya yang sama sekarang. Masalah yang kami ada ialah cara bertahan yang berani… Apabila cara bertahan tidak sempurna, kami menjadi terlalu terbuka. Jadi kami mesti lebih padat.

“Mempertahankan adalah suatu seni dan ia berkesan kepada kami untuk suatu tempoh yang lama. Namun apabila ia tidak berfungsi, anda perlu kembali kepada asas. Kami tidak boleh sentiasa melakukan sesuatu yang baharu. Jika kami boleh membantu pemain dengan cara bertahan secara berbeza, kami perlu melakukannya,” kata Klopp.

Liverpool hanya memenangi tiga perlawanan musim ini dan Klopp membandingkan krisis keyakinan skuad itu dengan Cristiano Ronaldo, yang penampilannya merosot menyebabkan penyerang Manchester United itu diletakkan di bangku simpanan.

“Adakah anda fikir Cristiano Ronaldo pada masa ini berada di puncak keyakinannya? Ia berlaku kepada kita semua. Lionel Messi musim lalu (di Paris St Germain) hampir sama.

“Anda perlu mengambil langkah ke arah yang betul dan apabila anda sudah bersedia, ia akan kembali. Kami perlu bersabar sekali lagi untuk melakukan perkara yang betul dan kemudian kami akan baik semula,” katanya.

Rangers kalah dalam kedua-dua perlawanan kumpulan tanpa menjaringkan gol untuk menduduki tangga terbawah Kumpulan A.

Namun Klopp menjangkakan pasukan Scotland itu yang tewas dalam perlawanan akhir Liga Europa menerusi penentuan penalti musim lalu, akan bangkit semula selepas kemenangan liga 4-0 ke atas Hearts, Sabtu lalu.

“Pasukan bola sepak yang bagus, dilatih dengan baik. Mereka mengharungi musim yang luar biasa di Eropah musim lalu. Saya melihat perlawanan terakhir mereka menentang Hearts. Kami menjangkakan perlawanan yang sengit dan itu yang kami sediakan,” katanya.

- Advertisement -