Klinik Desa Padang Menora perlu bangunan baharu

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Klinik Desa Padang Menora di sini yang dibina pada 1962 wajar dibina baharu atau dinaik taraf kerana mengalami banyak kerosakan.

Klinik tersebut memberikan perkhidmatan kesihatan terutamanya kepada ibu-ibu mengandung dan bersalin serta penduduk setempat sekitar 15,000 orang.

- Advertisement -

Pertambahan bilangan penduduk dengan pembukaan kawasan-kawasan penempatan baharu seperti Taman Desa Ara, Taman Ara Indah dan Taman Desa Ara Permai menyebabkan ia berdepan kesesakan untuk menampung pertambahan penduduk.

Perkara itu mendapat perhatian PAS Kawasan Tasek Gelugor yang meninjau situasi semasa klinik tersebut, baru-baru ini. Turut serta ialah Ketua Dewan Muslimat Negeri Pulau Pinang, Maziah Khamis.

Menurut Yang Dipertuanya, Mohd Sobri Salleh struktur bangunan klinik desa itu terlalu usang untuk menampung bilangan penduduk yang sedang meningkat.

Beliau juga melahirkan rasa kerisauan dengan kuarters jururawat yang turut mengalami masalah dimakan anai-anai.

Katanya, terdapat beberapa bahagian lantai dan dinding telah dimakan anai-anai dan tidak selamat untuk diduduki.

“Bangunan yang terlalu uzur tersebut hanya menerima bantuan pembaikan serta penyelenggaraan dan pembasmian anai-anai daripada pihak kerajaan sebelum ini.

“Pembaikan dan projek naik taraf klinik desa tersebut perlu dilakukan segera bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini sehingga mengancam keselamatan kakitangan serta pesakit,” ujarnya

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan rasa terhutang budi kepada para petugas klinik desa itu di atas kecekapan dan tahap perkhidmatan profesional yang telah diberikan kepada penduduk setempat selama ini. – HARAKAHDAILY 4/10/2022