Kedah hentikan sementara semua konsert terbuka

ALOR SETAR: Semua konsert terbuka di Kedah dihentikan sementara sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, ditetapkan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya Kedah Mohd Firdaus Ahmad berkata pemberhentian sementara itu, bagi membolehkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan mengenai penyelarasan SOP penganjuran konsert di Kedah.

“Semalam, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan memaklumkan, sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.

Advertisement

“Tetapi, Menteri Besar maklum secara umum jadi kita tidak pasti jenis konsert yang macam mana tidak dibenarkan itu. Esok, saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Negeri dan mungkin ia boleh diperincikan oleh Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung kejadian muda-mudi yang terkinja-kinja dalam penganjuran ‘Muda Mudi Weekend Fest’ di Balai Seni Alor Setar baru-baru ini di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Kelmarin, tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan anak muda, sambil melakukan pelbagai aksi antaranya menari di Balai Seni Alor Setar dan ia mengundang rasa rasa kurang senang, memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata hasil perbincangan dan perjumpaan bersama penganjur mendapati, tiada sebarang pelanggaran melibatkan pihak berkenaan sebaliknya kejadian yang terjadi itu adalah berada dalam luar jangkaan mana-mana pihak.

“Penganjur memang sudah sedia maklum dengan arahan dan SOP yang perlu dipatuhi, selain telah mendapat kebenaran pihak polis dan lesen hiburan untuk penganjuran program berkenaan. Penganjur juga telah mengambil tindakan awal, dengan memberhentikan konsert pada waktu kejadian itu berlaku.

“Saya sendiri telah melihat tentatif program iaitu pada pukul 1 tengah hari, 4 petang, 7 dan 8 malam, sebarang aktiviti hiburan dihentikan sementara waktu bagi menunaikan fardhu solat, tetapi perkara ini menjadi isu besar kerana tapak program terletak berhampiran Masjid Zahir dan Pejabat Agama Islam,” katanya.

Beliau berkata program yang diadakan pada 30 Sept dan 1 Okt itu, lebih kepada himpunan anak muda yang meminati seni selain membuka peluang kepada usahawan muda untuk menjana pendapatan dengan penjualan produk makanan dan minuman, pakaian serta barangan perhiasan. – BERNAMA