Kawal selia elektrik, Sabah lepasi halangan pertama

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mengalu-alukan kelulusan Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 yang akan membuka jalan kepada Sabah untuk mendapatkan kembali kawalan kawal selia ke atas bekalan kuasa elektrik.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kedua-dua rang undang-undang itu dibentangkan berikutan mesyuarat yang dimulakan oleh beliau dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Putrajaya pada Ogos untuk menetapkan rancangan supaya Sabah mengawal selia elektrik sendiri dan bekalan gas serta mendapatkan semula kawalan syarikat utiliti kuasa, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Rancangan sedang dilaksanakan dan ini termasuk penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah supaya kawal selia bekalan elektrik boleh dipindahkan daripada kerajaan Persekutuan kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

- Advertisement -

Di pihak Sabah, kerajaan negeri dijangka akan membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Bekalan Elektrik, Rang Undang-Undang Enakmen Tenaga Boleh Baharu dan Rang Undang-Undang Enakmen Suruhanjaya Tenaga di Dewan Undangan Negeri, November tahun ini.

Berikutan itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah menjangka untuk mengambil semula SESB dengan liabiliti sifar sebaik Pelan Transformasi SESB disiapkan dalam tempoh lima hingga tujuh tahun dari sekarang.

Menurut beliau kerajaan Sabah sedang bekerja keras untuk memastikan peralihan yang lancar dan semuanya berjalan mengikut perancangan.

Parlimen meluluskan kedua-dua rang undang-undang itu dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali kedua pada Isnin.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Takiyuddin berkata ia sebagai persediaan untuk penyerahan semula kuasa autonomi dalam pembekalan elektrik kepada kerajaan negeri Sabah.

Takiyuddin berkata pindaan terhadap Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726) itu, selaras dengan komitmen kerajaan menyemak semula pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 berkaitan hak serta kuasa autonomi yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak.

Pindaan terhadap kedua-dua akta itu termasuk memasukkan subseksyen baharu iaitu memberikan menteri kuasa menggantung kuat kuasa keseluruhan atau mana-mana peruntukan kedua-dua akta di bahagian yang berlainan di Malaysia. – BERNAMA

- Advertisement -