Bubar Parlimen: Pandangan parti politik tidak pengaruhi kuasa PM

- Advertisement -

SHAH ALAM: Segala pandangan dan cadangan yang diutarakan parti-parti politik berkenaan pembubaran Parlimen tidak boleh mengubah dan mempengaruhi kuasa Perdana Menteri untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenyataan beberapa parti politik yang meminta supaya pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat ditangguhkan tidak akan mempengaruhi keputusan beliau namun setiap pandangan dan cadangan akan dilihat dan diteliti.

Beliau berkata keputusan pembubaran Parlimen sepatutnya tidak melibatkan perbincangan secara terbuka termasuk membabitkan parti kerajaan dan pembangkang sebaliknya akan dilakukan sekiranya Perdana Menteri merasakan Parlimen wajar dibubarkan.

- Advertisement -

“Keputusan pembubaran ini tidak ada kena mengena dengan parti politik lain. Sebelum ini pun tidak pernah dibincang secara terbuka macam ini tentang tarikh pembubaran Parlimen dan sebagainya. Dahulu Perdana Menteri umum bubar, bubarlah Parlimen.

“Mana ada parti politik lain bagi pandangan dan campur tangan dari segi pembubaran. Tak pernah, bukan setakat perundingan dengan parti lain, parti sendiri tidak ada perbincangan dulu,” katanya kepada media selepas majlis perasmian program Idea Bina Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan beberapa parti politik yang tidak bersetuju Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Ismail Sabri berkata sebagai Perdana Menteri beliau mempunyai kuasa untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran Parlimen manakala Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa pemutus berkenaan perkara itu.

“Ada kata bubar sebelum bentang (Bajet 2023), ada kata bubar selepas bentang (iaitu pada) hari Isnin, ada kata bulan depan, ada kata tahun depan, macam-macam. Kita tunggulah,” kata beliau.

Berkenaan tarikh tamat perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik mengenai sokongan pembangkang ke atas Perdana Menteri, beliau berkata tiada sebarang tarikh ditetapkan namun perjanjian itu berjalan sehingga Parlimen dibubarkan.

“Kita tak tetapkan tarikh (MoU) sehingga bila, jadi bila Parlimen dibubarkanlah. Bila Parlimen dibubarkan MoU terbatallah,” katanya.

Mengenai dakwaan rundingan  kerjasama Umno dan PAS yang didakwa gagal, Ismail Sabri berkata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang ada mengadakan pertemuan sebelum ini dan beliau berkata rundingan itu tidak akan selesai dengan sekali pertemuan.

“Ini terutamanya melibatkan perkara-perkara besar seperti kerjasama dalam pilihan raya tentulah sekali jumpa tidak sempurna lagi dan mungkin ada lagi perkara yang perlu dibincangkan jadi akan diteruskan.

“Timbalan Presiden (Umno) juga dah diminta untuk berbincang (dengan PAS) jadi perbincangan itu diteruskan bukan bermakna gagal, sehinggalah diumumkan gagal maka gagallah,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -