SKMM ada ruang untuk tambah baik RUU Anti Hendap

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai ruang untuk memperincikan jenayah menghendap secara maya (cyberstalking) melalui Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Anti Hendap.

Timbalan Menteri di Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, berkata setakat ini Seksyen 507 A (2) di bawah senarai tindakan gangguan (act of harrasment) hanya menyebut tindakan menghendap secara terbuka.

Advertisement

“Senarai tindakan gangguan Seksyen 507 A (2) sebenarnya adalah secara terbuka. Jadi frasa yang digunakan dalam Seksyen 507 A (2) (a), (b) dan (d) menyebut apa juga cara (by any means), jadi ini adalah termasuk secara atas talian.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk RUU ini diperincikan lebih spesifik kepada cyberstalking yang boleh dilaksanakan oleh MCMC (SKMM),” katanya semasa menggulung RUU Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang meminta penjelasan sama ada cyberstalking akan dimasukkan dalam RUU berkenaan.

Menurut Mas Ermieyati, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga telah wujud larangan RUU sedemikian dalam Seksyen 211.

Katanya, Seksyen 211 memperuntukkan larangan terhadap penggunaan aplikasi kandungan tidak senonoh, lucah, palsu, mengancam, atau menyerang (ofensive) dengan niat untuk menganggu, mendera atau mengugut mana-mana pihak. – HARAKAHDAILY 3/10/2022