`Saya tidak boleh melangkaui kuasa PM’

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan petua supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memberi jaminan tidak akan membubarkan Parlimen sehingga Bajet 2023 diluluskan.

Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, beliau tidak boleh berbuat demikian kerana ia akan melangkaui kuasa Perdana Menteri.

Menurutnya, sudah tentu Bajet 2023 akan dibahaskan jika Dewan Rakyat masih bersidang dan sebaliknya jika dibubarkan, maka perbahasan tidak boleh dilakukan.

“Kuasa untuk membubarkan (Parlimen) adalah kuasa Perdana Menteri. Saya tidak boleh kata apa-apa mengenai perkara itu.

“Saya tidak boleh melangkaui kuasa yang beliau ada. Saya tiada kuasa untuk memaksa mana-mana pihak untuk meneruskan usul mereka. Jika usul diteruskan, maka kuasa saya untuk peruntukkan masa tapi untuk teruskan atau tidak, bukan kuasa saya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) ketika membangkitkan perkara itu mengikut Peraturan Mesyuarat 66 (5), berkata Dewan Rakyat sebagai badan penggubal undang-undang, perlu memainkan peranan bagi memastikan Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, melalui proses yang sepatutnya sehingga akhir.

Katanya: “Tuan Speaker, mungkin kita boleh minta Perdana Menteri memberi jaminan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan akan diteruskan seperti biasa sehingga tamat seluruh proses, diluluskan di Dewan dan Senat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/10/22

- Advertisement -