Rakyat masih bersama PAS di Terengganu

- Advertisement -

PADA 2017 puluhan ribu rakyat Terengganu berhimpun di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus. Mereka tidak menghiraukan hujan, panas dan ribut bagi mewujudkan gelombang baharu politik. Ternyata ia berhasil apabila pada 9 Mei 2018 PAS kembali menawan Terengganu. PAS menguasai 22 kerusi Dun, manakala Barisan Nasional (BN) 10.

Dan pada 22 hingga 24 September lepas sekali lagi himpunan mega diadakan. Pra Himpunan Teguh Pertahan di perkarangan Kompleks Sukan Negeri mengulangi apa yang berlaku pada 2017.

Oleh itu bagi menyoroti lebih dekat perkembangan politik yang berlaku di Terengganu ikuti temubual LANJUSOH dan MUHAMMAD ARIF ISMAIL bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Dr Alias Abdul Razak ketika ditemui baru-baru ini.

- Advertisement -

Harakah: Apakah pra Himpunan Teguh Pertahan mampu mengulangi Fastaqim 2017?

Dr Alias: Betul, bagi ana ia seakan-akan himpunan Fastaqim. Hari itu dilihat lonjakan sokongan orang ramai yang mengulangi semula impak sehingga memberi kesan pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

PAS kembali mentadbir Terengganu. Suasana hari ini pun pra Himpunan Teguh Pertahan seakan-akan itu juga. Ini pandangan ana sebagai pengarah program.

Kita sebenarnya mempunyai objektif besar hendak mempertahankan kemenangan PAS pada PRU14 lalu. Sekurang-kurangnya kita hendak mempertahankan 22 kerusi yang kita menang. Hak ini wajib dipertahankan, dan insyaAllah kalau berlaku pilihan raya sekarang kita hendak berkawan dengan sesiapa sahaja.

Kalau Umno mahu meneruskan Muafakat Nasional (MN) PAS tetap bersedia. Sekarang PAS bersama Bersatu dan beberapa parti lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun kalau Umno mengambil sikap berlawan dan tidak mahu bersama kita kena bertanding juga lah. Jadi di sana mungkin kita akan tambah lagi lagi beberapa kerusi sasaran kita untuk menang dalam pilihan raya, bukan setakat pertahan 22 kerusi yang ada.

Maknanya ada tambahan kerusi untuk PAS?

Atas nama PN sekarang kita sudah bersama. Kemenangan itu merupakan kemenangan PN juga untuk PRU15 nanti. PAS pusat akan putus lambang mana yang akan digunakan nanti tetapi yang saya hendak sebutkan ialah wajib kita pertahankan 22 kerusi yang telah kita menangi pada PRU lepas.

Isu yang kita hendak kemukakan bagaimana untuk memastikan rakyat bersama dengan kita, test market. Sebab itulah timbul idea untuk buat himpunan sebelum pilihan raya sebagaimana Fastaqim bagi menggerakkan pendukung-pendukung PAS.

Ini juga sebagai satu psiko war kita mengubah persepsi masyarakat. Kita akan buat himpunan penuh kita panggil Himpunan Teguh Pertahan 100K (HTP 100K) di Jambatan Angkat di ambang PRU15 diadakan.

Jadi program pra himpunan ini sebagai perintis?

Memandangkan PRU15 lambat lagi kita buat pra dahulu. Ini macam warming up lah, untuk lihat pertama jentera pelaksana kita bersiap siaga dan baiki kelemahan, kedua melihat move masyarakat macam mana, sebelum ini peringkat Dun sudah dibuat.

Program tersebut dikenali sebagai Himpunan Terengganu Berkat Sejahtera. Kita anjurkan Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera di setiap Dun. Ini belum selesai lagi. Sekarang boleh dikatakan di peringkat pertengahan.

Jadi eloklah bila kita buat karnival setiap Dun iaitu tiga hari dua malam. Dan akhir sekali kita akan buat himpunan besar-besar HTP100K.

Karnival terbabit bila bermula Dato’?

Sedang berjalan sekarang bermula kira-kira dua bulan lepas dikendalikan di bawah kerajaan negeri. Ini semua move masyarakat akar umbi untuk kita maklumkan pencapaian kerajaan negeri.

Insya-Allah dengan pra himpunan ini pertamanya kita dapat gerakkan jentera, kedua kita dapat memberi satu keyakinan rakyat masih bersama dengan PAS.

Alhamdulillah walaupun kita kita buat pra sahaja, saya tidak jangka sambutan yang begitu hebat sekali macam sudah betul-betul. Malam pertama pun sudah berpuluh ribu rakyat hadir. Petang hari kedua pada program Bicara Murabbi lebih ramai sehingga melimpah-melimpah. Program itu menampilkan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus.

Jarang program sebelah petang kita adakan dengan kehadiran luar biasa. Ini memberi keyakinan kepada kita untuk tengok sokongan akar umbi. Ia menggambarkan rakyat masih bersama kita. Walaupun timbul isu kecil itu biasalah. Kita ketengahkan program hiburan santai dengan penyanyi popular dikir barat peringkat lokal bersama Sabri Yunus.

Bila agaknya cadangan kemuncak program Himpunan Teguh Pertahan?

Cadangannya hendak buat tahun ini tetapi memandangkan musim hujan dan kemungkinan PRU tahun hadapan pula.. so kita akan buat tahun depan juga insyaAllah iaitu selepas musim hujan dan sebelum sambutan Ramadan. Himpunan itu dirancang di Jambatan Angkat sebelah utara iaitu Sebarang Takir.

Khabarnya ada jelajah menggunakan trailer?

Trailer tersebut sudah bergerak. Trailer Teguh Pertahan kita siap dengan pentas dan ada skrin LED besar. Trailer itu akan jelajah dari setempat ke tempat lain. Apabila sampai PRU nanti kita jelajah ke seluruh parlimen. Pada 20 September lepas diadakan ceramah di Dungun selepas trailer itu sampai di Terengganu 19 September.

Apakah Dato’ yakin sokongan akar umbi terhadap PAS tidak merosot, atau ada elemen lain yang menjadi tarikan rakyat Terengganu?

Kita lihat sebenarnya ada dua teras kekuatan PAS di Terengganu, pertama agama. Program agama di masjid, surau berjalan lancar. Begitu juga sekolah-sekolah agama kita bagi bantuan.

Manakala penguatkuasaan dari segi syariah pun berjalan. Ini antara harapan rakyat kepada PAS dari dahulu lagi. Mereka bukan hendak tengok PAS membuat bangunan tinggi, itu kerja siapa sahaja boleh buat.

Ini bukan bermakna kita tidak memberi keutamaan. Dari segi hiburan dan sukan kita benarkan dengan ada garis panduan iaitu patuh syariah.

Panggung wayang pun kita buka dengan syarat asingkan lelaki dan perempuan, keluarga dan lampu kena pasang. Waktu solat kena jaga jangan melebihi waktu solat. Selain itu jangan lebih jam 12 malam.

Kedua ialah kebajikan rakyat. Kita banyak agih bantuan kepada rakyat yang bermula sejak dari lahir sampai mati, ada pelbagai bantuan kita berikan.

Antaranya bantuan bersalin, bantuan mendapat lesen motosikal, pinjaman perumahan tanpa riba, projek rumah mampu milik, biasiswa dan rawatan kesihatan percuma kelas tiga. Kita juga beri kad sejahtera untuk rakyat miskin mendapat rawatan di klinik swasta. – HARAKAHDAILY 3/10/2022