PN tidak ketandusan calon MB di Perlis

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
PAS Perlis tidak ketandusan calon untuk diketengahkan calon menteri besar (MB) yang berkelayakan sekiranya Perikatan Nasional (PN) mampu menguasai Perlis pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, calon terbabit dalam kalangan orang muda yang berpendidikan tinggi dan mempunyai latar belakang agama yang baik.

- Advertisement -

“PAS tidak ketandusan calon yang layak untuk diketengahkan pada PRU15 tidak lama lagi,” katanya di sini.

Baru-baru ini Setiausaha Agung Bersatu Dato’ Seri Hamzah Zainuddin membayangkan PN akan mengetengahkan calon menteri besar dari PAS sebagai ‘abang’ sekiranya gabungan itu berjaya menawan Perlis.

Kata Hamzah, PAS perlu memimpin Bersatu dan kedua-dua pihak tidak sewajarnya melakukan serangan antara satu sama lain menjelang PRU15.

Mohd Shukri yang juga Pengerusi PN Perlis berkata, PN sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 termasuk senarai calon untuk ditampilkan pada bila-bila masa sahaja.

“Insya-Allah jika Bersatu berjaya menarik sokongan kira-kira 30 peratus undi Pakatan Harapan (PH) kedudukan PN akan lebih selesa.

“Selain itu kita berusaha untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji dan Sanglang, PAS turut menyasarkan beberapa lagi kerusi termasuk Simpang Empat.

“Dengan kerjasama Bersatu dan rakan-raka lain, PN diyakini mampu menguasai politik Perlis pada PRU15,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/10/2022

- Advertisement -