Pertembungan sesama sendiri merugikan kuasa politik Islam Melayu

KUALA LUMPUR: NGO Gerakan Daulat (DAULAT) menggesa semua pihak terutama parti-parti politik Islam-Melayu merapatkan kerjasama dan mengelakkan sebarang pertembungan sesama sendiri.

Pengerusi DAULAT Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, tanpa kerjasama tersebut ia akan merugikan kuasa dan kedudukan politik Islam-Melayu- Bumiputera yang sudah sedia terhakis.

Oleh itu katanya NGO terbabit menyokong sepenuhnya agenda memperkasa penyatuan ummah yang digerakkan semua pihak.

Advertisement

“DAULAT menyambut baik pertemuan di antara Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan dan Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Pertemuan tersebut dilihat dapat merapatkan jurang perbezaan antara kedua-dua parti yang mewakili suara majoriti Melayu-Islam,” katanya pada kenyataan hari ini

Baru-baru ini Tuan Guru Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengusahakan penyatuan ummah.

Dr Mohd Roslan berkata, pertemuan terbabit diharap dapat memperkasa agenda muafakat penyatuan ummah.

“DAULAT melihat ini sebagai perkembangan yang sangat baik dan perlu disambut semua parti politik dan badan-badan Islam Melayu di seluruh negara,” ujarnya.

Menurutnya juga DAULAT menyambut baik perbincangan di antara Presiden PAS dan Bersatu dan berharap ia akan membawa kepada agenda pemerkasaan permuafakatan ummah.

Kata beliau juga DAULAT menggesa semua pihak menilai secara serius siapa musuh sebenar negara melalui agenda jahat ratifikasi ICERD, Rome Statue, pengguguran kes-kes mahkamah berprofil tinggi.

“Selain itu cubaan mempromosi ideologi komunis yang mencabar kedaulatan negara dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan,” tambahnya.

Oleh itu DAULAT mendesak supaya dielakkan sebarang kerjasama dengan pihak-pihak yang berusaha menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 3/10/2022