Pembayar cukai di negara ini hanya 8 peratus

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Menjelang pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat ini pelbagai andaian dirumus pelbagai pihak termasuk pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, pelaksanaan GST pada kadar yang munasabah dianggap lebih baik berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

- Advertisement -

Katanya GST mampu memberi pulangan sebanyak dua kali ganda berbanding SST yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“GST mampu beri impak besar terhadap pemulihan serta pertumbuhan ekonomi.
Kadar cukai yang mungkin dikenakan ialah 3 peratus dan ia tidak membebankan rakyat.

“Negara perlu mempunyai mekanisme tuntas supaya boleh menaikkan pendapatan kerajaan kutipan cukai termasuk memperkenalkan semula GST.

“Ini merupakan persediaan kerajaan bagi menghadapi tahun 2023,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohamed Farid yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu mendedahkan pembayar cukai di negara ini hanya 8 peratus daripada jumlah penduduk.

Belanjawan 2023 dijangka dibentang Menteri Kewangan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat ini. Persidangan parlimen sesi ketiga 2022 bermula hari ini. – HARAKAHDAILY 3/10/2022

- Advertisement -