Najib boleh hadiri sidang Dewan Rakyat?

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, hari ini, menjelaskan kedudukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara, sama ada boleh atau tidak untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Kedudukan Ahli Parlimen Pekan dibangkitkan oleh Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mencadangkan supaya Najib yang masih lagi seorang Ahli Palimen dibenarkan menghadiri Parlimen, tetapi tangannya bergari.

- Advertisement -

Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat jika mendapat kebenaran Jabatan Penjara.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran kepada Najib untuk hadir kerana Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu kini berada di bawah jagaan Jabatan Penjara.

“Mengenai kehadiran Yang Berhormat Pekan, ia bukan di bawah kuasa saya langsung. Jika beliau hadir, maka beliau tidak perlu meminta kebenaran saya untuk masuk ke Dewan.

“Persoalannya sekarang, adakah beliau boleh hadir? Itu bukan di bawah kuasa saya kerana ia bukan di bawah jagaan saya. Jadi, penjara mempunyai hak penjagaan beliau, maka terpulang kepada pihak penjara untuk melepaskan beliau daripada penjagaan itu.

“Mengikut kefahaman saya, jika pihak penjara melepaskan beliau daripada penjagaan, maka pihak penjaralah yang menetapkan syarat pelepasan itu. Sekali lagi, bukan juga kuasa saya,” katanya.

Mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang itu boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun dan denda lebih RM2,000.

Bagaimanapun, jika petisyen pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, mengikut Perkara 48(4)(c).

Bekas Perdana Menteri memfailkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari selepas sabitan itu. – HARAKAHDAILY 3/10/22

- Advertisement -