Kedah larang konsert cetus kelakuan luar tatasusila

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Penganjuran Muda Mudi Weekend Fest yang melibatkan konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu untuk membendung perkara yang boleh mencetuskan kelakuan di luar tatasusila daripada terus menular.

Menurutnya kelakuan terkinja-kinja tanpa arah anak-anak muda yang hadir ke konsert Muda Mudi Weekend Fest di Balai Seni tidak boleh diberi ruang untuk terus membiak.

- Advertisement -

“Kelakuan seumpama itu menjadi penanda aras sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberi ruang,” katanya pada hantaran di laman sosialnya hari ini.

Konsert Muda Mudi Weekend Fest diadakan Jumaat dan Sabtu lepas sempena ‘Art Loq Staq Festival’ anjuran Balai Seni Negeri Kedah bersama Kolektif Biggy.

Bagaimanapun Datuk Bandaraya Alor Setar Dato’ Zaid Ahmad menegaskan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen untuk mengadakan konsert terbabit.

Menurutnya MBAS hanya mengeluarkan lesen kebenaran busking, jualan trak makanan dan permainan kanak-kanak sahaja.

Sanusi juga berkata, peraturan itu sudah dimaklumkan kepada semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan perlesenan hiburan di peringkat daerah.

Kata beliau juga banyak acara lain yang mendatangkan manfaat dan menyihatkan tubuh badan termasuk Fun Run, Fun Ride, Treasure Hunt dan memancing.

“Masyarakat wajar masyarakat didedahkan dengan aktiviti yang selari dengan undang-undang dan tatasusila masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Dato’ Najmi Ahmad berkata, konsert terbabit bukan sahaja memberi imej buruk terhadap kerajaan negeri, malah menimbulkan kurang senang masyarakat tempatan. – HARAKAHDAILY 3/10/2022

- Advertisement -