Kategori dan jenis doktor

- Advertisement -

JANGAN ingat bahawa doktor itu boleh buat semua perkara. Merawat pun dia, buat uji kaji atas tikus makmal pun dia, bedah kaki pun dia, bedah nak beranak pun dia… semuanya dia. Tidak! Doktor ada kepakaran masing-masing kerana ilmu perubatan itu terlalu luas, nak kawal semuanya adalah terlalu amat sukar. 

- Advertisement -

Doktor yang merawat kanak-kanak dipanggil doktor pakar kanak-kanak (Pediatrik). Doktor yang merawat sakit puan untuk beranak pula dipanggil doktor Obstetrik. Doktor yang merawat sakit puan berkaitan dengan sakit-sakit puan dipanggil Ginekologi. Doktor yang menguruskan rawatan tulang dipanggil doktor Ortopedik (pakar tulang). Begitulah seterusnya. Pelbagai kemahiran dan kepakaran dalam dunia perubatan ini. Kalau doktor biasa yang tidak ada kepakaran mata, maka rujuklah kepada doktor pakar mata. Kalau doktor yang didatangi oleh pesakit yang bermasalah gigi, maka rujuklah kepada doktor gigi.

Ada pula doktor yang hanya ditugaskan untuk buat kajian dalam pelbagai bentuk sama ada kajian itu bermula daripada herba kepada kajian-kajian bentuk ubat-ubatan yang baharu dikeluarkan ataupun ubat baharu dicipta, jadi doktor yang berkenaan tugasnya khusus untuk membuat kajian. Doktor-doktor dekat klinik kesihatan tidak terlibat dalam penerokaan dan proses membuat ubat sebegitu. Kecualilah mereka terlibat dalam kajian-kajian atas manusia fasa 1-3. Itu pun tidak semua doktor terlibat. Cuma kajian-kajian itu boleh diambil sebagai sumber rujukan dalam menentukan perawatan nanti.

Doktor yang berada di klinik-klinik kesihatan pula, kepakarannya adalah untuk membuat saringan dan pengurusan merawat penyakit-penyakit akut dan kronik. Doktor di klinik-klinik kesihatan ini tidak masuk makmal untuk membuat kajian bagi ubat-ubatan yang baru ataupun seumpama dengannya tetapi mereka boleh terlibat di dalam salah satu rantaian kajian itu seperti yang disebut di atas. 

Ada juga doktor yang tugas dia adalah untuk mengajar. Mereka dipanggil doktor-doktor pengajar yang berada di universiti-universiti sama ada tempatan ataupun luar negara. Tugas mereka mulia untuk mengajar pelajar perubatan atau memberi ilmu doktor-doktor yang ingin mengambil kepakaran kedoktoran. Mereka juga diberi tugas untuk mentadbir universiti.

Ada pula sekumpulan doktor yang berperanan untuk tadbir hospital atau menguruskan pejabat-pejabat Kesihatan Daerah dalam Kementerian Kesihatan. Doktor-doktor yang mentadbir ni kepakarannya adalah kesihatan awam. Merekalah yang akan melaksanakan atau menentukan polisi kesihatan awam dan bagaimana kerajaan ingin menangani pengurusan dalam pelbagai sudut sama ada pengurusan secara teknikal ataupun kewangan di Kementerian Kesihatan Malaysia. Keberadaan mereka di jawatan itu penting supaya negara kita ini terurus dengan baik.

Doktor di swasta pula mempunyai peranan untuk merawat pesakit-pesakit mengikut kapasiti mereka di klinik-klinik yang mereka tadbir sendiri atau hospital. 

Itulah secara umum kategori dan jurusan-jurusan doktor serta kepakaran mereka. Semuanya mempunyai peranan masing-masing mengikut kemahiran masing-masing. Kalau mereka nak takluki kesemua sekali kepakaran dan peranan itu, memang terlalu sukar kerana seperti yang saya sebutkan tadi ilmu perubatan itu adalah satu ilmu yang luas dan menyeluruh.

Berbalik kepada isu ketum, COVID-19, vaksin dan sebagainya, ianya adalah satu ilmu yang umum yang semua doktor perlu tahu secara asas bagaimana konsep kajian dalam perubatan dan bagaimana sesuatu bahan tersebut boleh digunakan atau tidak.

Bab penerokaan, kajian-kajian dalam makmal dan kepakaran khusus bagi menentukan dos, keselamatan ubat, keberkesanan dan kestabilan penggunaannya diserahkan kepada doktor yang secara langsung terlibat dalam mana-mana peringkat kajian tersebut.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 3/10/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -