KOTA BHARU: Kelantan sekali lagi menjadi tuan rumah persidangan pendidikan antarabangsa dengan kerjasama beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Pantai Timur.
Persidangan antarabangsa kali ini digabungkan dengan Digital Innovation Competition mendapat sambutan hangat daripada pensyarah, siswa, guru-guru, pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia, pelajar dan individu.
International Conference on Teacher Education (ICTE`22) akan diadakan pada 10 dan 11 Oktober ini bertempat di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu.
Perasmiannya dijangka disempurnakan Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob pada 10 Oktober.
Sekretariat ICTE`22 Marinee Mohd Suhaimi berkata, tokoh ilmuan Islam terkemuka dari United Kingdom (UK) Prof Dr Abdullah Sahin diterbang dari Universiti of Warwick bagi menyampai ucaptama pada persidangan itu.
Katanya tokoh terbabit akan berkongsi ilmu tentang kepakaran dalam mengupas pelbagai perspektif Pendidikan Islam di dunia pada masa kini.
“Malah ICTE`22 juga mendapat sentuhan tokoh ilmuan tempatan Prof Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh dari Institut Kefahaman Islam Malaysia yang akan memberi ucaptama pada hari kedua,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.
Hampir 150 pembentang tempatan dan luar negara akan membuat pembentangan secara bersemuka dan secara atas talian pada persidangan terbabit.
Manakala 20 peserta membuat pembentangan poster serta inovasi dan lebih 50 orang akan mengikuti persidangan sebagai peserta.
‘Bolstering The Teachers of Tomorrow, Today’ diangkat menjadi tema ICTE kali kedua mendapat Kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan Terengganu, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu.
Selain itu kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail (KIAS), Yayasan Islam Kelantan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Institut Latihan Darul Naim, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan dan IPG Kota Bharu, Institut Latihan Darulnaim, Institut Pemikiran Tok Guru dan Majlis Pengarah IPG Malaysia.
Marinee juga berkata, `Digital Innovation Competition’ pula menarik sebanyak 201 kumpulan peserta daripada pelajar sekolah rendah sehingga pensyarah IPT tempatan dan luar negara.
Menurutnya pertandingan inovasi dimulakan pada Mei dan berakhir 7 Ogos lepas menampilkan empat kumpulan yang mewakili setiap kategori dipilih sebagai pemenang Diamond Awards’, manakala sembilan kumpulan mendapat
Special Awards’.
“Kesemua hadiah kepada pemenang akan disampaikan pada majlis penutup ICTE`22 pada 11 Oktober ini akan disempurnakan Timbalan Rektor Kanan IPG Malaysia, Dr Rosli Yacob.
Kata beliau juga penganjuran persidangan tersebut dalam skala lebih besar dibuat berasaskan komitmen kerajaan Kelantan bersama institusi pendidikan tinggi di Kelantan dan Terengganu untuk memartabatkan pendidikan di negeri-negeri Pantai Timur.
Menurutnya persidangan terbabit dilihat mampu memupuk kecemerlangan guru di pentas antarabangsa.
“Diharap penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa ini relevan untuk menunjukkan komitmen kerajaan Kelantan dan para akademia dalam membangun dan memperkembangkan pengetahuan di bidang akademik alaf baru dalam normal baru,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/10/2022