Honda Civic didaftar atas nama Shahrir pada 2013

KUALA LUMPUR: Seorang Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sebuah kereta jenis Honda Civic Hybrid bernilai RM118,485 didaftarkan atas nama bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abd Samad pada 31 Dis 2013.

Zaharudin Zainuddin, 51, yang bertugas di Bahagian Pendaftaran Pelesenan Kenderaan Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya berkata kelas kegunaan kereta berwarna putih itu adalah kenderaan persendirian-motokar individu.

“Saya sahkan nombor pendaftaran JPD545 adalah milik Shahrir Ab Samad yang beralamat No 17, Jalan Seruling, Taman Perbadanan Islam, 80250 Johor Bahru, Johor,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak  melalui sekeping cek bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata berdasarkan semakan sistem MySikap JPJ, pendaftaran bagi kenderaan tersebut dibuat oleh rakan niaga JPJ (pengedar kenderaan) dan kenderaan itu masih lagi milik Shahrir kerana sehingga kini tiada maklumat tukar milik kepada penama lain.

Kepada soalan peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros yang mewakili Shahrir bahawa kereta itu digunakan oleh UMNO Cawangan Taman Kebuh Teh, saksi itu menjawab “tidak tahu”.

Zaharudin bersetuju dengan peguam itu bahawa sistem JPJ tidak merekodkan tujuan penggunaan kenderaan, hanya merekodkan maklumat pemilik.

Pada 8 Ogos lepas, Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd Rozana Khalid, 43, memberitahu mahkamah bahawa Shahrir telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian kereta tersebut bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek pada 21 Dis 2013.

Pembantu Pengurus Cawangan Maybank Damansara Heights, Fazilah Omar, 47, yang turut memberi keterangan hari ini berkata cek Public Islamic Bank atas nama Shahrir berjumlah RM115,000 bertarikh 9 Dis 2013, dimasukkan ke dalam akaun Maybank milik bekas Pengerusi Felda itu.

“Berdasarkan penyata akaun Maybank atas nama Shahrir, saya sahkan baki dalam akaun Maybank itu adalah sebanyak RM65,810.38 pada 28 Nov 2013. Pada 9 Dis 2013, terdapat kemasukan wang ke dalam akaun itu (Maybank) berjumlah RM115,000 melalui cek,” kata saksi pendakwaan ke-17 itu.

Dalam pada itu, Penolong Pengurus Cawangan Maybank Desa Sri Hartamas Muhammad Zamzuri Mohd Zain, 53, hari ini mengesahkan bahawa Shahrir membuat transaksi kiriman wang berjumlah RM69,090 daripada akaun Maybank miliknya itu ke akaun Public Bank atas nama YM Auto Wheels Enterprise pada 1 April 2014.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-18 itu tidak mengetahui tujuan transaksi itu dilakukan.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – BERNAMA