Tindakan tegas premis jejas sektor pelancongan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengambil tindakan undang-undang lebih tegas terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan sehingga menjejaskan sektor pelancongan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata merujuk kepada isu pelancong yang jatuh sakit selepas bercuti di Pulau Perhentian yang tular di media sosial baru-baru ini, kerajaan negeri sangat memandang serius isu berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk menjelaskan isu sebenar yang telah berlaku dan laporan penuh akan menyusul apabila siasatan lengkap. Agensi-agensi terlibat perlu menjalankan siasatan di lapangan dalam kadar segera untuk mencari dan menilai punca kejadian.

Advertisement

“Kerajaan negeri tidak teragak-agak menggunakan segala tindakan perundangan sedia ada dengan tegas jika ada premis yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan memandangkan isu sebegini boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri ini,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Jumaat lepas, sebuah portal berita melaporkan sekumpulan 40 pelancong terdiri daripada 27 dewasa dan 13 kanak-kanak yang bercuti tiga malam ke Pulau Perhentian Kecil jatuh sakit selepas berenang di perairan pulau itu.

Menurut laporan tersebut, sebahagian mereka mengalami cirit-birit dan demam panas sejurus pulang bercuti dan beberapa orang dimasukkan ke hospital, manakala seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu dan dua lagi kanak-kanak mengalami keracunan darah.

Dalam pada itu Ariffin berkata bagi mengatasi isu aduan sistem kumbahan di Pulau Perhentian, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam usaha membina Loji Kumbahan Bersepadu bagi menangani isu berkaitan pencemaran kumbahan di pulau peranginan itu.

“Selain itu susulan aduan sebelum ini, pihak KASA dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) sedang dalam tindakan menjalankan Pelupusan Enapcemar secara keseluruhan di Pulau Perhentian,” katanya.

Katanya pihak Jabatan Alam Sekitar Terengganu juga sentiasa menjalankan program pengawasan kualiti air marin secara berkala di Pulau Perhentian dan bagi keputusan pengawasan itu pada Jun sehingga September lepas menunjukkan kualiti air berada pada tahap terbaik.

“Kerajaan negeri sangat komited dalam menjaga keselesaan dan keselamatan pelancong yang bercuti di pulau-pulau peranginan di Terengganu.

“Hal-hal yang mendatangkan kesan tidak baik kepada pelancong dan pengunjung di negeri ini akan diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya demi memastikan kelangsungan sektor pelancongan negeri ini,” katanya. – BERNAMA