PRU15: Pemuda PAS berada tahap tertinggi

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BESUT:
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) kini berada pada tahap tertinggi untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Advertisement

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, khabar daripada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno baru-baru ini dikatakan bersetuju pembubaran Parlimen dilaksanakan segera.

Oleh itu, katanya Dewan Pemuda PAS menggariskan empat perkara yang perlu dilaksanakan Jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS kawasan di seluruh negara bagi menghadapi PRU15.

“Saya nak berkongsi beberapa perkara iaitu 4A yang perlu dilaksanakan, pertama aktifkan jentera pemuda kawasan masing-masing, kedua akur kepada arahan dan keputusan kepimpinan tertinggi parti.

“Ketiga alert dengan perkembangan semasa dan keempat arahan serangan kepada musuh bila semboyan PRU15 diumumkan, sepakat menyerang musuh dan bukan kita sibuk menyerang sesama sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran jentera pilihan raya DPPM sempena penganjuran Ijtimak Tarbawi 8.0 di Kompleks Pendidikan Tahfiz an Nur Besut petang semalam.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin; Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang dan Pengarah Pilihan Raya DPPM Hafez Sabri.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, DPPM tidak kisah siapa musuh yang akan diputuskan pemimpin tertinggi dengan mengambil kira PAS masih berunding bagi mempertahankan penyatuan ummah.

Bagaimanapun menurutnya sehingga sekarang DPPM masih menganggap DAP dan parti kompenan Pakatan Harapan (PH) sebagai pesaing utama pada PRU15.

“DAP dan PH merupakan musuh kita dan tidak mahu melihat mereka kembali semula kepada pemerintahan negara dan tidak mahu peristiwa 22 bulan seperti sebelum ini berulang sekali lagi selepas PRU15,” katanya.

Kata beliau juga Dewan Pemuda PAS mengadakan kerjasama dengan Ameerah bagi melaksanakan program serta aktiviti berkaitan anak-anak muda.

Sementara Pengarah Ameerah Dr Siti Mastura Muhammad berkata, langkah kerajaan meluluskan Undi18 memberi cabaran besar kepada kedua-dua sayap PAS itu khususnya di peringkat akar umbi.

Menurutnya, Unit Daerah Mengundi (UDM) di seluruh negeri perlu melakukan perancangan strategik yang sesuai dengan situasi terkini dengan menggunakan teknologi maklumat yang memerlukan tenaga pemuda dan Ameerah.

“Hendaklah membuat program yang sesuai di peringkat UDM dan Ameerah bersedia pada bila-bila masa untuk sama-sama kerah tenaga laksanakan aktiviti yang menjadi tumpuan anak muda.

“Pemuda lebih tahu apa aktiviti yang cenderung kepada pemuda, Ameerah lebih memahami muslimat, jadi perkara ini digembeling supaya anak muda melihat PAS mampu jadi model terbaik untuk memimpin negara selepas PRU15,” katanya.

Kata beliau juga Ameerah menjangkau usia 11 tahun, merupakan anak bongsu kepada PAS yang bernaung di bawah Dewan Muslimah PAS Malaysia (DMPM) mula mengorak langkah mengembangkan pengaruh ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kami dapat melengkapkan wujudnya Ameerah seluruh Malaysia, terakhir penubuhan di Sarawak. Kami melihat keadaan ini merupakan satu petanda peningkatan semangat dan kefahaman anak muda bagi membina kedaulatan Islam di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2022