PRU15: PAS akan bincang semula bubar DUN tiga negeri

Foto daripada Facebook Idris Ahmad.

BACHOK: PAS akan mengadakan perbincangan semula bersama pucuk pimpinan tertinggi dalam masa terdekat mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang diterajuinya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad berkata perbincangan itu dilakukan berikutan Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada Jumaat mahu agar Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Advertisement

“Kalau setakat yang sebelum ini kita punya pendirian tidak bubarkan (DUN), tetapi mungkin akan ada perubahan-perubahan itu.

“Kita akan bincangkan dalam masa terdekat kerana keputusan ini parti yang tentukan sama ada bubar serentak dengan Parlimen atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ijtimak Pondok Se-Malaysia di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK), Kandis, di sini semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan negeri yang diterajui PAS tidak akan membubarkan DUN masing-masing lebih awal daripada Mac 2023.

Mengulas mengenai resolusi Ijtimak Pondok Se-Malaysia yang mahukan semua calon pilihan raya adalah dalam kalangan individu bukan penyebar fahaman dan ajaran wahabi, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata pandangan itu akan diperhalusi oleh pucuk pimpinan.

“Pandangan dan cadangan itu, kami akan bawa kepada parti. Terserah kepada pimpinan putuskan nanti,” katanya. – BERNAMA