MADA aktifkan pelan persediaan banjir hadapi La Nina

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengaktifkan Pelan Persediaan Banjir Kawasan Muda bagi menghadapi fenomena La Nina yang dijangkakan berlaku hujung tahun ini.

Pengerusinya Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata pihaknya akan menguruskan lebihan air hujan mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang telah ditetapkan demi kepentingan awam serta penanaman padi di kawasan itu.

“Ramalan menunjukkan pada September 2022 hingga Februari 2023, Perlis akan menerima taburan hujan antara 200 hingga 300 milimeter (mm) dan Kedah, antara 290 hingga 440mm.

Advertisement

“Berdasarkan maklumat itu, Kawasan Muda berkemungkinan menerima turunan hujan lebat di kawasan tadahan empangan, tadahan sungai dan kawasan sawah yang akan menyebabkan penambahan takungan air di empangan, peningkatan aliran sungai dan kenaikan kedalaman air di kawasan sawah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata MADA bersedia memastikan kesempurnaan fungsi infrastruktur pengairan dan saliran serta memastikan alat kelengkapan berserta aset berkaitan seperti bot, pam dan peralatan lain serta jentera berada dalam keadaan baik.

“MADA sentiasa peka dengan perubahan cuaca semasa dan berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku banjir sepertimana ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

Beliau berkata operasi saliran air banjir adalah melalui infrastruktur utama yang melibatkan Sistem Arau, Sistem Lanabulu, Sistem Alor Changileh, Pelubang Barrage serta Tandop Pasang Surut Ampang Jajar,” katanya.

Menurut beliau, perancangan dan persediaan yang diambil itu, diharapkan dapat meminimumkan kerosakan harta awam dan padi serta mengurangkan kesulitan kepada peladang sekiranya banjir berlaku di Kawasan Muda.

“Sehingga hari ini, kedudukan paras takungan air di Empangan MADA berada dalam keadaan mencukupi iaitu Empangan Pedu berada pada kadar 859,625 juta meter padu (98.27 peratus), Empangan Muda pada kadar 123,950 juta meter padu (99.16 peratus) dan Empangan Ahning pada kadar 186,979 juta meter padu (83.85 peratus.

“Peladang di kawasan MADA digalakkan untuk menghubungi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berhampiran sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan. MADA sentiasa bersedia membantu bagi menjayakan aktiviti penanaman padi di kawasan Muda,” katanya. – BERNAMA