Khutbah sentuh politik secara umum tiada masalah

Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Khutbah Jumaat yang disampaikan khatib antara lain untuk merungkaikan persoalan berbangkit dalam masyarakat dan memberi kesedaran kepada umat Islam.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sekiranya ia diguna untuk tujuan kempen parti tertentu yang tiada kaitan dengan maslahatan umum ia tidak sepatutnya berlaku.

- Advertisement -

Katanya tidak menjadi masalah sekiranya khutbah Jumaat yang disampaikan menyentuh soal pentadbiran politik secara umum.

“Namun sekiranya khutbah itu dibaca hanya semata-mata demi kepentingan kempen parti tertentu itu seharusnya ia tidak berlaku.

“Kalau melibatkan isu politik yang lebih cenderung kepada kepartian tertentu sepatutnya tidak berlaku. Tetapi kalau isu itu melibatkan kepentingan awam barangkali menyentuh juga soal peristiwa atau perkara secara tidak langsung berkaitan politik tidak menjadi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai perasmian Program Hari Sayyidatina Khadijah Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, pihaknya menyerahkan kepada pentadbiran agama negeri masing-masing untuk meneliti perkara tersebut untuk sebarang tindakan.

Baru-baru ini viral di media sosial ada nitizen mendakwa khutbah Jumaat menyentuh isu politik apabila khatib mengajak umat Islam khususnya parti Melayu bersatu padu atas nama Melayu-Islam dan jangan berpecah belah. – HARAKAHDAILY 2/10/2022

- Advertisement -