Kerajaan pertimbang tampung kos jemaah haji

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan berhasrat meneruskan lagi bantuan kepada jemaah haji di negara ini tahun hadapan biarpun berdepan dengan kadar kenaikan kos pengurusan haji yang agak tinggi sekarang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara itu menjadi keutamaan kerajaan walaupun masih awal untuk diputuskan.

- Advertisement -

“Setiap tahun Tabung Haji (TH) menyediakan bantuan untuk mereka yang mengerjakan haji dan ada juga mereka ditawarkan untuk bayar penuh.

“Bantuan yang diberi berbeza mengikut peringkat, ada kumpulan B40, ada bukan B40 tetapi siapa sahaja yang ingin untuk bayar penuh sangat dialukan dan digalakkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sayyidatina Khadijah Parlimen Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Kata beliau peningkatan kos itu turut melibatkan kos tambang penerbangan, sewa penempatan dan kenaikan Cukai Nilai Tambah (VAT) dikenakan Kerajaan Arab Saudi di mana sudah melebihi 15 peratus.

Menurutnya setiap kos yang dibelanjakan di Arab Saudi sekarang misalnya kalau RM1,000 terpaksa dikeluarkan RM1,150 bagi nilai Ringgit.

“Ini antara faktor kenaikan kos haji termasuk kadar inflasi yang melanda dunia juga tidak terkecuali turut melibatkan Arab Saudi,” katanya.

Justeru kata beliau sekiranya rakyat memberi sokongan kepada kerajaan selain ditambah dengan prestasi kewangan Tabung Haji (TH) yang memberangsangkan pastinya subsidi dapat diteruskan tahun akan datang. – HARAKAHDAILY 2/10/2022

- Advertisement -