JKM Melaka rekod 88 kes dera kanak-kanak hingga Ogos

Datuk Kalsom Nordin
- Advertisement -

MELAKA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka merekodkan 88 kes penderaan kanak-kanak termasuk 37 daripadanya membabitkan penderaan seksual sejak Januari hingga Ogos lepas.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin berkata penderaan fizikal, seksual dan emosi terhadap kanak-kanak merupakan satu bentuk keganasan yang mengancam keselamatan serta hak asasi seorang kanak-kanak.

“Ia meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa yang bukan sahaja mengalami kecederaan fizikal malah trauma emosi seperti kemurungan, ketakutan dan kekeliruan,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak peringkat negeri, yang turut dihadiri Pengarah JKM Melaka Burhanuddin Bachik.

Kalsom berkata eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak dilihat meningkat terutamanya kesalahan yang melibatkan perkongsian dan capaian kepada bahan pornografi kanak-kanak.

Beliau berkata ia berikutan kemunculan pelbagai aplikasi dalam talian yang mudah dimuat turun dan menjadi trend kepada gaya hidup masa kini, justeru pengawalan serta pemantauan ibu bapa penting untuk mengelakkan kanak-kanak daripada terjebak dengan perkara yang memudaratkan.

“Maklumat daripada pihak Polis Diraja Malaysia menunjukkan 106,764 alamat protokol Internet (IP) yang berdaftar di Malaysia telah membuat perkongsian pornografi kanak-kanak sejak 2017 hingga Ogos tahun ini.

“Trend ini menunjukkan perkembangan yang tidak sihat memandangkan pendedahan kepada bahan pornografi kanak-kanak mendorong kepada ketagihan seks yang boleh membawa mudarat dan gejala tidak bermoral,” katanya.

Menurutnya kerjasama daripada semua pihak termasuk ibu bapa perlu digembleng supaya pemantauan dan penggunaan Internet secara berhemah serta selamat dapat diterapkan dalam masyarakat untuk lebih peka sejajar dengan perkembangan teknologi. – BERNAMA

- Advertisement -