Politik Islam dinamik berubah mengikut keadaan

- Advertisement -

BESUT: Pemuda PAS hendaklah memahami politik sesuatu yang dinamik dan boleh berubah mengikut keadaan serta tempat, kata ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Beliau berkata, politik amat penting kepada umat Islam bagi membina kekuatan ummah di negara ini memandangkan siasah syariah sesuatu ilmu yang sangat luas dan ia bersifat dinamik.

- Advertisement -

“Ada pihak hairan sekali PAS hendak berkawan dengan Umno, dan dalam masa yang lain pula mengambil sikap tidak berbaik dengan Umno.

“Ini kerana Islam mementingkan perpaduan ummah begitu juga dalam hubungan politik tempatan dan serantau. Misalnya dalam konflik Rusia dengan Ukraine kita kena memahami situasi sebenar, yang mana tidak memberi mudarat lebih besar kepada Islam.

“Kita tahu siapa di belakang Ukraine iaitu Amerika Syarikat yang campur tangan di Ukraine dan Amerika mempunyai hubungan rapat dengan Israel. Jadi kita kena tengok mana yang mendatang mudarat lebih besar antara kedua-duanya,” katanya pada forum di Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Malaysia di sini hari ini.

Turut bertindak sebagai ahli panel Ketua Unit Al Quds Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Prof Madya Dr Aminurrasyid Yatiban, manakala moderator Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan Abdul Malik Abdul Karim.

Dr Abdul Khalil juga berkata, pada zaman Rasulullah saw kerajaan Islam suatu ketika pernah menyokong kerajaan Rom, dan pada ketika lain berperang dengan Rom.

“Siasah Syariah juga menjelaskan sikap yang perlu diambil orang Islam ketika tiada kerajaan Islam dan mana-mana situasi,” ujarnya.

Turut hadir pada ijtimak tersebut golongan mahasiswa yang mewakili institusi pengajian tinggi awam (IPT) dan IPT swasta. – HARAKAHDAILY 1/10/22

- Advertisement -