PAS ulangi PRU wajar diadakan tahun hadapan

Senator Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

BESUT: PAS mengulangi pendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri-negeri yang diterajuinya sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini.

Naib Presiden PAS, Senator Dato Idris Ahmad berkata, pendirian itu dibuat pada mesyuarat PAS Pusat sebelum ini yang memutuskan tidak akan membubarkan Dun di bawah kerajaan diterajui PAS sebelum Mac 2023.

- Advertisement -

“Negeri-negeri di bawah teraju PAS tidak akan dibubarkan sebelum Mac 2023,” katanya pada Ijtimak Tarbawi 8.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di Kompleks Pendidikan An Nur Besut dekat Jertih di sini hari ini.

Semalam Majlis Kerja Tertinggi Umno dikatakan mengadakan mesyuarat antaranya membincang tarikh PRU15. Bagaimanapun tiada kenyataan rasminya mengenainya.

Namun seorang Naib Presiden Umno memberitahu parti itu sentiasa mahu Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri Yaakub mengadakan PRU segera.

Malah Presiden Umno Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilapor berkata, Barisan Nasional sedia meredah banjir sekiranya PRU diadakan akhir tahun ini. – HARAKAHDAILY 1/10/22

- Advertisement -