PAS arah jentera parti bersiap sedia hadapi PRU15

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan seluruh jentera pilihan raya parti di semua peringkat bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sehubungan dengan itu juga semua pemimpin dan ahli PAS dikehendaki menjaga serta mematuhi tanzim dan disiplin parti dengan menerima segala ketetapan dan keputusan yang dibuat terutama oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas dasar wala’ dan taat yang tidak berbelah bahagi.

- Advertisement -

“Sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden PAS bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan dan perjuangan parti khususnya dalam menghadapi PRU15,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru itu, kata beliau semua peringkat parti perlu menumpukan usaha memantapkan gerak kerja pilihan raya sebagaimana dirancang untuk dilaksanakan terutama melalui pengarahan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

“PAS yakin dengan perjuangan yang berteraskan Islam serta hala tuju yang jelas demi kepentingan agama, bangsa dan negara, PAS akan terus memberikan khidmat bakti kepada negara dan rakyat jelata selepas PRU15 bersama-sama dengan gabungan muafakat politiknya yang mempunyai matlamat yang sama,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 1/10/2022

- Advertisement -