Optimis kemenangan Islam di negara ini dari kebangkitan anak muda

- Advertisement -

BESUT: Kemenangan Islam dari dukungan kebangkitan anak muda akan pasti berulang sebagaimana perjuangan para pemuda RA bersama Rasulullah SAW suatu ketika dahulu, demikian kata Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim. 

Jelasnya, ciri mereka itu sebagaimana bersandar ayat 157 surah al-‘Araf di mana telah dikupas para ulamak bahawa terdapat 10 ciri mereka yang menyambung perjuangan dibawa Baginda Nabi Muhammad SAW itu. 

Anak muda selaku Abnaul Harakah juga peringat beliau, mesti memiliki disiplin-disiplin tertentu seperti kekuatan dalaman iaitu merujuk kepada akal, hati dan nafsu yang mesti diberi perhatian oleh mereka.

Kupas beliau, Rasulullah menyemai tiga nilai utama kepada generasi Sahabat RA iaitu meyakini keagungan risalah Islam dan berbangga bersama serta memperjuangkannya dan sentiasa mengharap bantuan Ilahi. 

Manakala menghurai agenda kebangkitan, beliau menjelaskan perincian pernah diberi Imam Hassan al-Banna iaitu memiliki kemahuan yang menjulang, kesetiaan sejati, pengorbanan tinggi dan berpegang dengan prinsip. 

ADUN Tepoh itu melengkapkan pembentangan dengan menyatakan empat ciri penting mesti wujud sebagai potensi dalam diri anak muda iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha. 

Beliau menyampaikan kuliah khas bertajuk “Pemuda Kemenangan Yang Didambakan” dalam Ijtimak Tarbawi Dewan Pemuda PAS Malaysia di Kompleks Pendidikan Tahfiz An-Nur, di sini semalam. 

“Al-Imam Hassan al-Banna menjelaskan ukuran sebenar sesebuah kebangkitan dan petunjuk utama bagi menilai kekuatan sebuah bangsa adalah Rojul. Rojul ialah adalah rahsia hidup sesebuah bangsa, formula dan juga faktor utama kebangkitan mereka. Sejarah manusia sebenarnya ialah sejarah kelahiran lelaki-lelaki yang berwibawa.  

“Memiliki jiwa yang kental dan kemahuan yang tinggi. Manakala kekuatan ummah atau kelemahannya diukur dengan jumlah ummah itu melahirkan lelaki atau pejuang yang memiliki sifat kelelakian yang sebenar,” ujar beliau. 

Kerana katanya, generasi hari ini menerima nikmat hasil perjuangan generasi terdahulu dan generasi pertengahan di mana kini semua itu mesti dikembangluaskan lagi oleh mereka. 

Ustaz Hishamuddin turut membanggakan para peserta betapa PAS satu-satunya parti yang mempunyai dokumen untuk membangunkan negara ini iaitu Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS). – HARAKAHDAILY 1/10/2022

- Advertisement -
- Advertisement -