Menghadapi kemaraan DAP

- Advertisement -

Oleh MUHAMAD MAT YAKIM

DARIPADA keseluruhan 222 kerusi Parlimen, 28 adalah kerusi di mana pengundi Cina melebihi 50 peratus.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), daripada 28 itu, 27 berada dalam tangan DAP manakala satu PKR.

Daripada 27 kerusi yang dikuasai DAP, 11 mempunyai lebih 70 peratus pengundi Cina.

Ini bermakna di konstituensi yang polanya bercampur dan bermajoriti Cina, ia dikuasai sepenuhnya oleh PH, terutama DAP.

- Advertisement -

Ia seakan menjadi akaun simpanan tetap bagi mereka.

Namun ini tentunya tidak memadai bagi DAP kerana mereka yakin akan kembali mercu kuasa selepas PRU15.

Maka, untuk PRU15, mereka akan menampilkan calon Melayu yang lebih ramai, mungkin mencecah dua kali ganda berbanding PRU14.

Untuk kembali ke Putrajaya, mereka perlu tembus dan memenangi kawasan majoriti Melayu.

Di situ walaupun sudah ada calon-calon Melayu termasuk penyandang daripada PKR dan PAN, DAP tetap mahukan wakil mereka sendiri.

Sebagai sebuah organisasi yang tamak kuasa, DAP tidak sedia untuk selama-lamanya mengharapkan PKR dan PAN.

Tambahan pula kemerosotan sokongan terhadap PKR yang ditunjukkan  dalam PRN Melaka dan Johor menjadi asbab dan justifikasi untuk DAP lebih mandiri.

Benarlah, kalau boleh bertanding sendiri, buat apa berkongsi?

Justeru, untuk PRU15, DAP baru-baru ini mengisytiharkan akan meletak calon sendiri di kawasan majoriti Melayu, dengan calonnya juga Melayu.

Perkara ini telahpun dirundingkan — dan mungkin juga telah dipersetujui — dalam perbincangan sesama parti PH.

Pada PRU14, DAP telah melakukan eksperimen dengan membawa 10 calon Melayu — suatu jumlah yang besar berbanding nisbah ahli parti itu.

Lapan daripada mereka — satu kerusi Parlimen dan 7 kerusi DUN menang — lalu ini dianggap satu percubaan yang amat berjaya.

Pada PRU15, kita akan dapat melihat lebih ramai calon DAP Melayu daripada kalangan liberalis, dan mungkin juga golongan ustaz yang lupa diri.

Dengan strategi yang serapi ini, usaha PH untuk kembali berkuasa dengan kerajaan dominasi DAP bukanlah mustahil.

Malah ia amat mudah untuk direalisasikan dalam situasi parti-parti Melayu masih tega untuk berpecah belah dan tanpa segan silu memgecam sesama sendiri.

Sama ada kita mahu mengaku atau tidak, itulah yang sedang berlaku — divide & rule.

Kekalahan yang dirancang oleh orang Melayu sendiri, dan parti lawan sekadar memainkan  bidak-bidak mengukuhkan kedudukan dan mengelak kesilapan.

Mereka hanya perlu melihat dari luar, tanpa masuk ke dalam gelanggang untuk menang berlengan.

Inilah apa yang sebenarnya telah dihidu oleh pimpinan PAS yang secara konsisten terus mengusahakan agenda penyatuan ummah. Menyatukan hati manusia yang berpecah belah — sanggup berterajang sesama sendiri demi memuaskan emosi — adalah satu-satunya langkah yang paling ampuh untuk menghalang kemaraan PH (baca: DAP) ke Putrajaya selepas PRU15.

DAP dikatakan akan memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi yang diwakili Umno.

Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Dato Sri Najib Tun Razak, usaha memomokkan Umno imej rasuah dan kleptokrasi dikira akan menjadi senjata kempen paling berkesan untuk mereka mainkan.

Mereka akan menggiatkan penyebaran propa kononnya DAP adalah parti yang paling berintegriti sebagai usaha menembus pasaran politik Melayu yang selama ini melihat parti itu sebagai ‘taboo’.

Daripada PN, mereka akan memberi tumpuan terhadap kerusi yang ditandingi oleh Bersatu sebagai melayan dilema  pengundi.

Sebagaimana calon Umno, calon Bersatu yang berasal daripada Umno juga akan digambarkan dengan imej yang sama — perasuah ataupun berpotensi menjadi perasuah. Konon bagaimana acuan, begitulah kuihnya!

Ironinya, orang Melayu tiada pilihan melainkan penyatuan.

Anggaplah kita sedang menghadapi fitnah akhir zaman yang menyesatkan, maka tidak ada langkah penyelamatan selain kembali ke perdu agama sebagai bangsa yang bermaruah, berdaulat dan bertanah. – HARAKAHDAILY 1/10/2022

- Advertisement -